Pages

Friday, August 26, 2011

Dua kemalangan maut



ARAU – Dua kemalangan maut dicatat berlaku di negeri ini pada hari pertama Ops Sikap ke-24 yang bermula 23 Ogos hingga 6 September depan.

Kemalangan pertama dicatat berlaku di Kilometer 2 Jalan Kaki Bukit membabitkan seorang warga emas, Ku Adnan Ku Ahmad, 68, yang sedang dalam perjalanan ke masjid dilanggar seorang remaja berumur 19 tahun yang menunggang motosikal kira-kira jam 8 malam.

Manakala kemalangan kedua adalah membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Mohd Norsaiful Zainal Abidin, 19, yang maut selepas motosikal dinaikinya bersama seorang rakan bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan di kilometer 16.8 Jalan Kaki Bukit-Kangar.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Polis, Zull Aznam Haron berkata, bermula Januari hingga 31 Julai lalu, sebanyak 1,017 kes kemalangan jalan raya dicatatkan berlaku di negeri ini.

“Jumlah itu membabitkan pecahan 40 kes kemalangan maut, 42 kematian, 129 cedera parah, 134 cedera ringan dan 714 tiada kecederaan,” katanya ketika pelancaran Ops Sikap ke-24 peringkat negeri Perlis, di Kilometer 26.4, Jalan Kuala Perlis-Changlun, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri, Zulhasmi Mohamad dan Pengarah Jabatan Keselamatan Kerja Raya (JKJR) negeri, Mohd Fazley Mohd Latiff.

Zull Aznam berkata, pihaknya turut menyenaraikan sebanyak sembilan laluan panas atau berisiko berlaku kemalangan sepanjang tempoh Ops Sikap ke-24 sempena Aidilftri minggu depan.

Antara laluan yang dikenal pasti berisiko berlaku kemalangan itu ialah di KM9 hingga KM12 Jalan Kangar-Alor Setar, KM12-KM14 Jalan Kangar- Kodiang, Jalam Syed Alwi, Jalan Kuala Perlis Dan Jalan Sanglang.

Menurutnya, sepanjang Ops Sikap ke-24 ini, pihaknya sudah menempatkan anggota trafik di beberapa kawasan strategik yang dikesan kerap berlaku kemalangan dan mengadakan pematuhan peraturan lalu lintas.

“Pemantauan pematuhan itu termasuklah memberhentikan kenderaan yang dikesan melakukan kesalahan untuk diberikan nasihat kepada pemandu ataupun mengambil tindakan perundangan,” katanya.SH

No comments:

Post a Comment