Pages

Monday, August 15, 2011

Diberkas ketika menonton TV




SUSPEK yang membunuh bapanya, Seman (gambar kecil) diberkas ketika pulang ke rumah di Kampung Pasir Putih, Tualak, Kuala Nerang semalam.


KUALA NERANG – Selepas tiga hari menghilangkan diri, seorang penoreh getah yang menetak bapanya sehingga maut dengan sebelah kaki kanannya putus di Kampung Pasir Putih, Tualak di sini Khamis lalu diberkas semalam.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Supritendan Ku Yaacob Ku Hamad berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan ketika berbaring sambil menonton televisyen di ruang tamu rumahnya pada pukul 1.45 pagi.
Rumah tersebut ketika itu tiada penghuni kerana ibu suspek, Hasnah Abdul Majid, 58, yang juga cedera diserang berpindah ke rumah anak perempuannya selepas kejadian ngeri itu.
“Suspek yang sebelum itu minum kopi berdasarkan cawan bekas minuman itu berehat di ruang tamu diberkas. Dia yang terkejut dengan serbuan itu tidak sempat berbuat apa-apa,” kata beliau.
Menurut Ku Yaacob, serbuan dibuat selepas polis menerima maklumat jiran yang memaklumkan rumah itu diterangi lampu sedangkan ia tidak berpenghuni.
“Jiran mengesyaki suspek pulang ke rumah selepas tiga hari menghilangkan diri dan menghubungi polis,” katanya.
Kelmarin, suspek dilaporkan ditemui berkeliaran di Kampung Paya Terap kira-kira tujuh kilometer dari rumahnya sambil membawa dua bilah parang.
Namun selepas menyedari gelagatnya menarik perhatian orang ramai, suspek tiba-tiba melarikan diri ke hutan berhampiran.-kosmo

No comments:

Post a Comment