Pages

Tuesday, August 16, 2011

Britain potong bantuan kebajikan perusuh didapati bersalah


LONDON: Sesiapa yang didapati bersalah oleh mahkamah atas dakwaan terbabit dalam rusuhan minggu lalu boleh kehilangan skim bantuan kebajikan kerajaan, walaupun tidak dikenakan hukuman penjara, kata Setiausaha Kerja dan Pencen Britain, Iain Duncan Smith. 
Beliau menjelaskan, pihak berkuasa mengkaji melaksanakan langkah itu yang ketika ini dilakukan hanya jika orang berkenaan dipenjara, lapor akhbar di sini.

“Pada masa ini, saya sedang mengkaji sama ada boleh melaksanakannya supaya mereka kehilangan bantuan berkenaan buat sementara waktu,” katanya dalam wawancara dengan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), semalam.
Katanya, perkara itu lebih baik jika diarahkan oleh badan kehakiman daripada dibuat berdasarkan cadangan pihaknya.

Katanya, sebahagian besar rusuhan baru-baru ini digerakkan oleh kumpulan samseng dan disertai oleh orang awam hingga melanggar undang-undang. 

“Ramai yang terpengaruh dengan keadaan hingga tidak memikirkan padahnya. Mereka lihat ada kesempatan untuk merompak kedai, memecahkan tingkap, melontar batu-bata ke arah polis hingga menyertai kumpulan perusuh lain. 

“Mereka sepatutnya tahu perbezaan apa yang betul dan salah, mereka tidak sepatutnya melakukannya, tetapi itulah sebab ramai terperangkap dan kini menghadapi tindakan undang-undang,” kata menteri itu. 
Sementara itu, polis berkata, mereka menemui senjata api dan barangan curi di beberapa kediaman di Camden selain pisau, penukul dan dua mesin juruwang selepas menggunakan pengesan besi di kawasan berkenaan. 

“Penemuan ini mengejutkan. Beberapa bilah pisau yang mungkin digunakan untuk melakukan jenayah sudah dirampas,” kata ketua inspektor Eric Phelps. 

Kelmarin, beratus-ratus penduduk di Birmingham, berarak beramai-ramai untuk keamanan dan perpaduan kaum. 

Dalam perarakan yang diadakan sebagai mengenang kematian tiga warga keturunan Pakistan yang terbunuh minggu lalu turut disertai masyarakat kulit putih dan anggota polis. 

Polis Birmingham mendakwa dua lelaki berusia 20-an dan seorang remaja 17 tahun atas pembunuhan Haroon Jahan, 20, dan adik beradik Shazad Ali, 30, serta Abdul Nasir, 31. – Agensi , kosmo

No comments:

Post a Comment