Pages

Tuesday, August 16, 2011

Breivik lakonkan cara dia membunuh




Anders Behring Breivik semalam melakonkan semula aksinya ketika melepaskan tembakan rambang ke arah remaja yang menyertai kem belia di pulau Utoeya pada 22 Julai lalu. - Agensi


OSLO 15 Ogos - Fanatik Kristian yang melakukan keganasan paling kejam dalam sejarah Norway, Anders Behring Breivik tidak menunjukkan perasaan menyesal sedikit pun apabila dia dibawa ke pulau Utoeya selama lapan jam untuk melakonkan semula insiden pembunuhan beramai-ramai itu.
"Bukannya dia tidak terganggu, tetapi dia tidak menunjukkan sebarang perasaan menyesal dengan tindakannya," kata pendakwa polis, Paal-Fredrik Hjort Kraby kepada wartawan di Oslo semalam, sehari selepas penyiasat membawa Breivik ke tempat dia mengamuk di pulau Utoeya pada 22 Julai lalu.
Breivik, 32 menembak mati 69 orang di pulau itu, kebanyakannya remaja yang menghadiri kem musim panas anjuran Parti Buruh, beberapa jam selepas dia mengebom pejabat-pejabat kerajaan di ibu negara Norway, menyebabkan lapan orang maut.
Hjort Kraby berkata, lawatan ke tempat kejadian kelmarin adalah penting bagi kes itu.
"Kajian menunjukkan kunjungan ke lokasi jenayah membantu mengembalikan ingatan.
"Breivik memberi banyak maklumat baru kepada kami, maklumat yang tidak kami peroleh sebelum ini sekalipun sudah menyoal siasatnya selama 50 jam," kata pendakwa polis itu.
Katanya, penyiasat kini mendapat gambaran agak jelas mengenai punca kematian mangsa atau bagaimana mereka ditembak, sekalipun masih ada butir yang belum lengkap.
Sesetengah mangsa mati lemas ketika cuba menyelamatkan diri dengan berenang ke tanah besar, tambah beliau.
Breivik dibawa dengan kawalan ketat ke pulau Utoeya, kira-kira 40 kilometer dari Oslo, dengan bot sama yang digunakannya pada hari serangan.
Pembunuh itu, peguamnya Geir Lippestad dan semua anggota polis memakai jaket kalis peluru, manakala helikopter polis berlegar di ruang udara ekoran kebimbangan pihak tertentu mungkin mahu melancarkan serangan untuk membalas dendam.
Breivik berkata, serangan ke atas Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri Jens Stoltenberg adalah sebahagian 'perjuangan salib' untuk menyekat 'kebanjiran pendatang Islam' dan dasar berbilang budaya di Eropah. - AFP, utusan

No comments:

Post a Comment