Pages

Wednesday, August 17, 2011

Bashar, Gaddafi semakin agresif

SEORANG wanita memakai kain keffiyeh menggunakan telefon bimbit untuk merakam bantahan anti-Syria di Beirut.
SEORANG wanita memakai kain keffiyeh menggunakan telefon bimbit untuk merakam bantahan anti-Syria di Beirut.

Khemah pelarian Palestin kena bedil di Latakia, tentera Libya guna Scud serang pemberontak

BEIRUT: Presiden Syria, Bashar al-Assad dan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dianggap semakin terdesak selepas mengarahkan pasukan bersenjata masing-masing meningkatkan kekerasan terhadap penentang.
Laporan dari Damsyik menyatakan, angka kematian meningkat kepada 35 orang selepas tentera Syria membedil kota Latakia buat hari ke-4, semalam.
Bashar memperhebat serangan bagi menghapuskan penentangan terhadapnya sejak lima bulan lalu mulai awal Ramadan menggunakan kereta kebal, tentera darat dan penembak curi, meskipun dikutuk dunia luar.

Bashar melancarkan operasi tentera di kubu penentang termasuk Hama, bandar Deir el-Zour di timur dan bandar tengah, Homs serta terbaru bandar pelabuhan Latakia.

Kebanyakan serangan disasarkan ke kawasan miskin al-Ramel, al-Shaab dan Ein Tamra. Al-Ramel menempatkan khemah pelarian Palestin selain penduduk bergaji rendah Syria.

Ia menyebabkan 5,000 warga Palestin lari meninggalkan tempat tinggal mereka, kata agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Agensi Kerja dan Bantuan PBB (UNRWA) menyatakan, seramai 10,000 pelarian Palestin berada di kawasan berkenaan.

Di Benghazi, penyokong Gaddafi melancarkan peluru berpandu Scud buat kali pertama dalam perang saudara negara itu selepas gagal menyekat kemaraan pemberontak yang diiktiraf Barat.

Kemaraan pemberontak menyebabkan Gaddafi semakin tertekan, dakwa pegawai pertahanan Amerika Syarikat.

Pemberontak yang berusaha menamatkan pemerintahan Gaddafi selama 41 tahun, menawan dua bandar strategik dekat Tripoli membolehkan mereka memotong bekalan elektrik ke ibu negara.

Peluru berpandu Scud dilancarkan awal Ahad lalu dari satu lokasi 80 kilometer ke timur Sirte, kampung halaman Gaddafi dan mengenai bandar pelabuhan Brega.
Serangan peluru berpandu itu tidak menyebabkan kecederaan dan tiada ulasan dibuat dari Tripoli mengenainya.

Pelancaran peluru berpandu Scud itu dianggap tidak membahayakan kerana ia tidak tepat dan menunjukkan Gaddafi semakin terdesak, kata Shashank Joshi, Felo Bersekutu di Institut Diraja Royal United di Britain.

“Sudah terbukti bahawa ia menunjukkan keadaan rejim semakin tersepit,” katanya.
Dalam tempoh enam bulan lalu, tentera Gaddafi menggunakan roket jarak dekad Grad manakala Scud mempunyai jarak sasaran 300 kilometer. – AP/Reuters , bharian

No comments:

Post a Comment