Pages

Saturday, August 20, 2011

Bapa hilang di bukit

MENGHILANG...Mohd Firdaus menunjukkan laluan bapanya. Gambar kecil Azmi.
MENGHILANG...Mohd Firdaus menunjukkan laluan bapanya. Gambar kecil Azmi.
KUALA NERANG: “Pada mulanya, saya perhatikan bapa dari jauh kerana dia marah kalau ditegur, tetapi dia langsung tidak menyahut dan menoleh ke belakang sebaliknya terus berjalan menuju ke bukit itu walaupun dipanggil berulang kali,”.
Begitu kata Mohd Firdaus, 29, anak Azmi Sidek, 59, yang menghilangkan diri selepas dilihat berjalan seorang diri ke kawasan Bukit Perik di Kampung Baru Lembah Permai, di sini dan gagal dikesan sejak Rabu lalu.

Mohd Firdaus berkata, bapanya yang juga bekas guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bakti, di sini, keluar rumah dengan memakai baju kemeja lengan panjang berputih, kain pelekat serta berkopiah putih, jam 2 petang.

“Bapa pernah mengalami tekanan perasaan sejak menjadi guru lagi kerana rekod kesihatan menunjukkan dia pernah mendapatkan rawatan doktor pakar beberapa tahun lalu.

“Mungkin masalah itu terbawa-bawa sehingga dia pencen selain bapa sering bercakap seorang diri sejak setahun lalu tanpa mahu menyambung kerja kerana tertekan dengan tugasnya.

“Sebelum ini, dia pernah keluar rumah tetapi beberapa jam selepas itu pulang ke rumah, tetapi kali ini bapa terus menghilangkan diri menuju ke Bukit Perik yang terletak berhadapan dengan rumah kami,” katanya yang ditemui di rumahnya, di sini, kelmarin.


Mohd Firdaus berkata, bapanya juga kadang-kadang mengalami penyakit nyanyuk tetapi akan baik semula selepas makan ubat mengikut arahan doktor.

“Sejak pencen, bapa sering mengalami kemurungan dan bercakap seorang diri tanpa sebab, tetapi kadang-kadang sihat dan waras seperti orang lain. Kali terakhir bapa mendapatkan rawatan doktor pakar pada Jun lalu.

“Kami perasan macam ada sesuatu yang membelenggu bapa sehingga dia sering menyebut yang bukan-bukan. Sudah puas berubat tetapi penyakit misteri ini sering mengganggu dirinya,” katanya.

Abangnya, Mohd Ridhwan, 33, berkata, sepanjang tempoh itu tiada berlaku sebarang perselisihan faham antara keluarga.

“Kami bimbang keselamatan dirinya berikutan bapa tidak begitu mahir selok-belok kawasan ini kerana kami baru berpindah ke sini sejak dua bulan lalu.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya melancarkan gerakan mencari mangsa dengan bantuan Rela, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta Rukun Tetangga (RT) Kampung Baru Lembah Pantai.

“Operasi masih diteruskan, tetapi tiada sebarang petunjuk menemui mangsa,” katanya.

Mereka yang mengetahui di mana Azmi berada boleh menghubungi di talian 019-5225578 atau 019-5183458.-hmetro

No comments:

Post a Comment