Pages

Friday, August 12, 2011

Bandar utama Britain tenang



beberapa anggota polis Britain lengkap dengan pakaian keselamatan berkawal di luar sebuah kedai di Salford, dekat Manchester, England, kelmarin. - AP


LONDON 11 Ogos - Keadaan di bandar-bandar utama di Britain tenang hari ini selepas dilanda rusuhan dan kegiatan mencuri yang berleluasa sejak beberapa hari lalu sehingga mencetuskan kecemasan di negara ini.
Selain operasi besar-besaran polis di London dan bandar raya lain, hujan lebat di utara Britain turut membantu mengembalikan keadaan tenang awal hari ini, berikutan rusuhan selama lima malam berturut-turut.
Penduduk London mengecapi ketenteraman buat malam kedua malam tadi, sementara ke utara ibu kota, Manchester, Birmingham dan Liverpool yang mengalami kekacauan, kelmarin juga kembali aman.
Namun keadaan masih tegang dengan Polis Metropolitan terus menempatkan 16,000 anggota di kota London sekurang-kurangnya untuk satu malam lagi, malam ini.
Sementara itu, Perdana Menteri David Cameron menghadapi tekanan untuk mengkaji semula rancangan kerajaannya bagi memotong peruntukan kepada pasukan polis secara drastik di bawah langkah berjimat-cermat.
Pemotongan peruntukan itu dilaporkan bermakna bilangan anggota polis akan dikurangkan sebanyak 16,000 orang menjelang 2015.
Langkah itu ditentang keras oleh Datuk Bandar London, Boris Johnson yang berkata, sekarang bukanlah masanya untuk mengurangkan bilangan anggota polis dengan banyak.
Lewat hari ini, satu mesyuarat krisis Kabinet dijadual disusuli dengan sidang tergempar Parlimen selepas ahli dewan dipanggil balik daripada cuti musim panas.
Polis menangkap lebih 1,200 orang termasuk 888 di London berhubung rusuhan itu, sementara mahkamah bersidang siang dan malam untuk mengendalikan kes-kes suspek yang didakwa.
Di London, 371 orang telah didapati bersalah berhubung pelbagai kesalahan mengganggu ketenteraman awam.
Situasi di bandar raya Birmingham masih tegang hari ini selepas tiga lelaki keturunan Asia beragama Islam dirempuh oleh sebuah kereta ketika mereka cuba melindungi premis mereka. - dpa, utusan

No comments:

Post a Comment