Pages

Sunday, August 21, 2011

Baju raya hangus


Baju raya hangus
SAYU... Nordiana melihat baju rayanya yang hangus selepas kebakaran di rumahnya.


KUANTAN: “Saya tidak sempat membayar barangan persiapan menyambut Aidilfitri yang dibeli di pasar raya walaupun sudah tiba di kaunter pembayaran. Apabila dihubungi anak sulung yang memaklumkan rumah kami terbakar, saya terus bergegas pergi,” kata Ketua Pembantu Tadbir di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Samsiah Ibrahim, 54.
Dalam kejadian pada jam 10.30 pagi semalam, dua rumah milik ibu tunggal empat anak berkenaan dan seorang pengawal keselamatan, Samsuddin Adabi Abdullah, 63, di Perumahan Cenderawasih, di sini, musnah terbakar.

Menurut Samsiah, rumah dua tingkat peninggalan arwah suami yang diduduki bersama empat anak sejak 25 tahun lalu itu terbakar selepas terkena api yang berpunca daripada kediaman Samsuddin yang terbakar terlebih dulu.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama tiga anak keluar ke pusat bandar untuk membeli-belah barangan persiapan bagi menyambut Aidilfitri yang bakal tiba dua minggu lagi apabila dihubungi anaknya, Nik Nurfajrina Nikmat, 26, yang memaklumkan berita buruk itu.

“Sebaik tiba di rumah, hancur luluh hati melihat satu-satunya kediaman tempat saya dan anak berlindung terbakar. Malah, perabot dan perkakas elektrik turut musnah menyebabkan saya kerugian RM50,000.

“Lebih menyedihkan, kejadian berlaku ketika kami sekeluarga membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. Apapun, saya bersyukur anak bersendirian di rumah terselamat dan tidak cedera,” katanya.


Nik Nurfajrina berkata, ketika menggunakan komputer riba di tingkat bawah rumah, dia apabila terdengar jeritan jiran memaklumkan ada kebakaran.

“Saya segera keluar untuk melihat kejadian tetapi terkejut mendapati rumah sendiri yang terbakar selepas api merebak dari sebelah.

“Saya tidak sempat menyelamatkan dokumen penting kerana panik dan hanya mampu menelefon ibu memaklumkan kejadian ini,” katanya.

Isteri Samsuddin, Noraini Yusof, 55, berkata dia hanya boleh melihat rumahnya hangus dijilat api tanpa sempat menyelamatkan barangan penting.

Sebelum kejadian, Noraini membaca al-Quran di tingkat bawah manakala cucunya, Dez Hariz Koh Mohd Izwan Koh, 5, pula bermain dalam bilik di tingkat atas.

“Saya hanya menyedari kebakaran apabila terdengar cucu menjerit memaklumkan bilik atas terbakar.

“Namun, saya gagal berbuat demikian kerana asap tebal menyelubungi dan pada masa sama saya terdengar jiran menjerit meminta saya cepat keluar kerana bimbang api marak, menyebabkan saya tiada pilihan selain mendukung cucu dan keluar dari rumah,” katanya.

Katanya, ketika kejadian, suami dan anaknya yang juga ibu kepada kanak-kanak itu, Nordiana Samsuddin, 24, yang juga ibu tunggal, tiada di rumah kerana keluar bekerja.hmetro

No comments:

Post a Comment