Pages

Monday, August 29, 2011

Atiyah terbunuh

WASHINGTON: Orang nombor dua paling penting dalam kumpulan Al-Qaeda, Atiyah Abd al-Rahman terbunuh dalam satu serangan di Pakistan.
Ia satu lagi tamparan hebat kepada kumpulan berkenaan setelah Osama bin Laden dibunuh tentera Amerika Syarikat, juga di Pakistan, beberapa bulan lalu.
Berita kematian Atiyah diumumkan ketika Amerika Syarikat bersiap memperingati ulang tahun ke-10 serangan 13 September Al-Qaeda terhadap negara itu.

Seorang pegawai kanan Amerika berkata, Atiyah, rakyat Libya terbunuh di barat laut kawasan puak Waziristan pada 22 Ogos.


Dia selama ini bertanggungjawab dalam operasi Al-Qaeda.

Pegawai berkenaan bagaimanapun enggan memberitahu bagaimana Atiyah dibunuh.

Pegawai tempatan di wilayah itu berkata, pesawat tanpa juruterbang Amerika menembak sebuah kenderaan di utara Waziristan pada 22 Ogos dan membunuh empat pejuang.
Tidak dapat dipastikan sama ada Atiyah antara yang terbunuh dalam serangan berkenaan.

Pegawai kanan AS yang enggan namanya disiarkan berkata, kematian Atiyah amat dirasakan oleh kumpulan Al-Qaeda kerana ketua kumpulan yang baru, Ayman al-Zawahiri sangat bergantung kepada Atiyah sejak komando tentera Amerika Syarikat membunuh Osama pada 2 Mei lalu.

Ketua Al-Qaeda itu dibunuh dalam sebuah rumah besar tempat dia bersembunyi, berhampiran sebuah akademi tentera.

Amerika Syarikat menawarkan hadiah AS$1 juta (RM2.98 juta) kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat mengenai kedudukan Atiyah, pakar bahan letupan Al-Qaeda.

“Ia pasti kehilangan besar kepada Al-Qaeda. Bahan yang ditemui di tempat persembunyian Osama menunjukkan Atiyah orang penting dalam memimpin operasi Al-Qaeda walaupun sebelum serangan itu,” kata pegawai berkenaan.

“Dia mempunyai tanggungjawab yang pelbagai dalam organisasi itu dan kehilangannya sukar diganti.”

Menurut pihak berkuasa Amerika, Atiyah yang berusia lewat 30-an itu, dilantik sendiri oleh Osama dan dia yang bertanggungjawab merekrut ahli baru serta menganjurkan perbincangan dengan kumpulan militan Islam lain. - AFP, hmetro

No comments:

Post a Comment