Pages

Saturday, August 6, 2011

Anak Gaddafi dipercayai maut


pix_gal0
Serangan udara tentera NATO turut korbankan lebih 30 askar kerajaan

BENGHAZI: Seorang lagi anak pemimpin Libya Muammar Gaddafi, Khamis al-Gaddafi, 28, dilaporkan terbunuh dalam serangan udara tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di bandar Zliten di barat Libya malam semalam, selain mengorbankan lebih 30 askar kerajaan. 

Jurucakap Pasukan Revolusi Bersatu, Mohammed Zawawi yang memetik maklumat sumber perisikan pemberontak berkata, Khamis disahkan antara yang terbunuh dalam serangan itu.
“Dalam serangan udara NATO ke atas bilik operasi Gaddafi di Zliten malam semalam, kira-kira 32 orang askar kerajaan terkorban. Salah seorang daripada mereka ialah Khamis,” katanya.
Pada masa sama kumpulan pemberontak berkata bilik operasi mereka di timur Libya berjaya memintas perbualan radio yang memberi isyarat anak Gaddafi, Khamis, maut dalam serangan itu. 

Pada 30 April lalu, anak keenam Gaddafi, Saif al-Arab, 29, terkorban dalam satu serangan udara NATO ke atas rumahnya yang turut mengorbankan tiga cucu pemimpin itu. 

Jika kematian Khamis disahkan, ia adalah tamparan terbaru kepada rejim pemerintahan Gaddafi yang masih meneruskan pertempuran dengan pemberontak. 
Sementara itu ibu pejabat operasi NATO Libya di Naples ketika dihubungi berkata, pihak masih menyiasat maklumat itu. 
Khamis yang mendapat latihan di akademi tentera Russia adalah pemimpin Briged Khamis, salah satu unit tempur paling cekap di Libya dan penyokong kuat kepemimpinan Gadadfi. 

Selepas kembali ke Libya bagi membantu ayahnya, Khamis mengetuai serangan ke atas al-Zawiyah dan berjaya menawan semula bandar itu dari tangan pemberontak. 
Serangan ke atas Zliten berlaku hanya beberapa jam selepas pegawai di Tripoli membawa wartawan melawat bahagian tengah bandar Zliten, bagi menafikan dakwaan pemberontak bahawa bandar itu diserang NATO. 

Jurucakap kerajaan Libya Moussa Ibrahim bagaimanapun menafikan kematian Khamis dan menyifatkannya sebagai berita palsu. 

“Mereka menyebarkan berita kematian Khamis di Zliten bagi menutup pembunuhan yang dilakukan. Ini adalah taktik kotor bagi melindungi jenayah yang dilakukan,” katanya. 

Askar daripada kumpulan pemisah di Misrata, kira-kira 60 kilometer ke timur Libya minggu lalu mengumumkan bahawa mereka semakin meluaskan pengaruh di Zliten, sebuah bandar tepi pantai yang strategik. 

Bagaimanapun, pihak berkuasa di Tripoli segera menafikan dakwaan itu mengatakan bahawa mereka mengawal seluruh bandar berkenaan. – AFP bharian

No comments:

Post a Comment