Pages

Friday, August 12, 2011

Ali al-Seriati minta maaf

ALI al-Seriati (tengah), tiba untuk perbicaraan kedua di mahkamah di Tunis, minggu lalu. -  Foto AFP
ALI al-Seriati (tengah), tiba untuk perbicaraan kedua di mahkamah di Tunis, minggu lalu. - Foto AFP

Bekas ketua keselamatan Tunisia rayu di mahkamah

TUNIS: Ketua keselamatan Tunisia yang berkuasa ketika pemerintahan Presiden Zine al-Abdine Ben Ali yang kemudian digulingkan, merayu rakyat negara itu memaafkannya ketika berada di mahkamah kelmarin.
Ali al-Seriati dianggap rapat dengan pemimpin Tunisia dan ramai yang menuduhnya merancangkan keganasan selepas Ben Ali keluar dari negara itu pada 14 Januari berikutan protes popular.
Beliau ditahan sebaik saja Ben Ali hilang kuasa dan tampil di mahkamah kelmarin dengan menghadapi dakwaan menyediakan pasport palsu kepada saudara mara pemimpin itu untuk membantu mereka lari.

Beliau berdepan dengan tuduhan berasingan atas dakwaan cuba mencetuskan huru hara dan persengketaan dalaman selepas Ben Ali digulingkan.

Seriati mengejutkan peguam di mahkamah kerana menjerit ketika prosiding perbicaraan hampir tamat dengan berkata: “Saya minta rakyat Tunisia memaafkan saya. Saya anak Tunisia dan saya sayangkan Tunisia.”

Ben Ali digulingkan selepas protes tercetus beberapa minggu yang menjadi inspirasi kepada gelombang kebangkitan Arab di seluruh Asia Barat dan Afrika Utara tahun ini.
Ben Ali dibicarakan tanpa kehadirannya. Belum ada pegawai yang dibicara di Tunisia atau tertuduh di negara jiran, Mesir, yang memohon maaf atas tindakan mereka semasa revolusi meledak atau ketika mereka berkuasa.

Presiden Mesir, Hosni Mubarak dituduh terbabit dalam pembunuhan penunjuk perasaan dibicarakan awal bulan ini, dengan hadir di mahkamah dalam keadaan berbaring dalam kurungan tertuduh.

Rakyat Tunisia mahu melihat Ben Ali dipenjarakan kerana kesalahan yang dilakukan sepanjang 23 tahun memerintah dan terhadap mereka yang mengambil bahagian dalam revolusi menentangnya.

Mahkamah menangguhkan sehingga hari ini hukuman terhadap Seriati dan 23 saudara mara Ben Ali dan isterinya, Leila Trabelsi yang didakwa cuba keluar dari negara itu dengan membawa mata wang asing yang besar selain barang perhiasan. – Reuters , bharian

No comments:

Post a Comment