Pages

Saturday, August 13, 2011

3 maut selepas beli juadah Ramadan


Norhashimah, Shamsul Kamal



KEPALA BATAS 12 Ogos – Hasrat dua beradik untuk berbuka puasa bersama adik bongsu yang pulang bercuti dari Johor tidak kesampaian apabila mereka terbunuh dalam nahas di Kampung Permatang Binjai dekat sini selepas membeli juadah berbuka puasa, petang semalam.
Norhashimah Hashim, 44, bersama adiknya, Normadiah, 38, dan menantu Norhashimah, Shamsul Kamal Razali, 38, maut selepas kereta Proton Wira yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Fortuner di persimpangan lampu isyarat kira-kira pukul 6.45 petang.
Anak tunggal Norhashimah, Siti Suraya Mansor, 23, yang juga isteri Shamsul Kamal dan sepupunya, Mohd. Firdaus Azlan, 10, cedera parah dan masing-masing dirawat di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Ketika kejadian, kereta yang dinaiki mereka berlima dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Bakar Kapor dekat Penaga selepas membeli juadah di Bazar Ramadan Maklom sebelum dirempuh Fortuner itu yang datang dari arah Butterworth menghala ke Tasek Gelugor.
Menurut adik bongsu mangsa, Ismail Hashim, 26, dia sebelum itu turut bersama-sama Norhashimah ke bazar Ramadan tersebut tetapi pulang awal menaiki kereta lain bersama isteri dan seorang lagi kakaknya, Norlia yang juga ibu Mohd. Firdaus.
“Selepas beli beberapa juadah, saya balik dulu dan menunggu mereka di rumah tetapi sehingga waktu berbuka, kelibat mereka tidak kelihatan sebelum mendapat panggilan kira-kira pukul 8 malam yang mereka terbabit kemalangan.
“Memang terkejut sangat sebab tak sangka boleh jadi macam ini ketika mereka berdua beria-ia nak berbuka puasa dengan saya sekeluarga,” katanya ketika ditemui di HSJ di sini, malam tadi.
Tambah Ismail, dia yang bekerja di Mersing, Johor pulang bercuti selama seminggu di kampung manakala Suraya yang tinggal di Baling, Kedah bersama suaminya turut pulang untuk berbuka puasa bersama-sama.
Mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat.
Jenazah Norhashimah dan Normadiah dikebumikan pukul 10 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Bakar Kapor manakala jenazah Shamsul dibawa pulang ke kampung halamannya di Kupang, Baling.
Pemandu Fortuner terbabit yang berusia 49 tahun turut mengalami cedera parah dan kini dirawat di HSJ manakala isteri dan dua anaknya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.
Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Suhami Md. Nor berkata, SUV itu dipercayai dipandu laju dan memotong beberapa kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat selain melanggar lampu merah.
“Ketika itu kereta Proton Wira yang dipandu Suraya melepasi persimpangan itu dan terus dirempuh Fortuner lalu SUV itu terbalik,” katanya.
Beliau meminta pihak yang menyaksikan kemalangan itu supaya membuat laporan atau hubungi 04-5741427.
-utusan

No comments:

Post a Comment