Pages

Monday, July 11, 2011

Turki enggan berdamai: Lieberman

BAITULMAQDIS: Turki menutup pintu untuk berbaik-baik semula dengan Israel apabila bertegas menuntut kepungan ke atas Gaza dihentikan, selain meminta maaf kerana menyerbu dan membunuh rakyatnya yang menyertai misi flotilla pertama dulu, kata diplomat rejim Zionis itu, semalam.

Menteri Luar, Avigdor Lieberman, berkata berdasarkan kenyataan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, negara itu enggan bekerjasama, berdamai atau memulihkan hubungan kedua-dua negara, sebaliknya hanya memalukan Israel.


“Saya terkejut apabila beliau tidak turut menuntut Israel menetapkan semula usia persaraan wanita di negara ini,” katanya menyindir.

Dalam ucapan Recep di Parlimen Jumaat lalu, beliau mengulangi tuntutan Turki supaya Israel meminta maaf atas tindakan komando negara itu menyerbu kapal Mavi Marmara yang berlayar untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza tahun lalu.


Dalam serbuan itu, lapan warga Turki terbunuh.


Mendakwa tindakan itu bersifat mempertahankan diri, Israel bersetuju membayar pampasan kepada Turki tetapi tetap enggan meminta maaf.

Kata Lieberman, Recep tidak berminat mengembalikan tahap hubungan kedua-dua negara seperti sebelum ini.


“Dia menutup pintunya,” katanya.

Lieberman berkata, Israel tidak bercadang mengambil tindakan selain daripada sekadar menyatakan “kesal” atas insiden itu.


Sementara itu, seorang pegawai Israel mendakwa, rundingan dengan Turki akan diteruskan menjelang penerbitan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai insiden Mavi Marmara yang diyakini Tel Aviv akan menyalahkan mereka.


- Reuters

myMetro | Turki enggan berdamai: Lieberman

No comments:

Post a Comment