Pages

Saturday, July 16, 2011

Suami rayu pulangkan isteri, anak

ZAWAWI menunjukkan laporan polis yang dibuat mengenai kehilangan isteri dan enam anaknya ketika ditemui di Rawang baru-baru ini. (gambar kecil) isteri beliau Samsiah Yusof


RAWANG - Seorang lelaki bekas pengikut Al-Arqam merayu supaya polis menyelamatkan isteri dan enam anaknya yang didakwa telah dibawa lari dan disembunyikan oleh pengikut kumpulan itu sejak 25 Jun lalu. Zawawi Aman, 44, mendakwa, isterinya, Samsiah Yusof, 44, dan tiga anaknya telah dilarikan ke Mekah, manakala tiga lagi anaknya yang lain disembunyikan di markas Al-Arqam di Country Homes di sini.

Enam anak pasangan itu ialah Siti Khaulah Al Azwar, Muhammad Najie Najwan, Muhammad Mufleh, Muhammad Abdul Bar, Nur Samahah dan Mariam Al Adzra. Kesemua mereka berusia di antara 3 dan 17 tahun. Mengimbau semula kejadian tersebut, guru itu mendakwa, dia mengesyaki ahli keluarganya dilarikan pengikut kumpulan tersebut selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) Samsiah mengatakan mereka tidak lagi berada di negara ini.

"Kami terpengaruh dengan ajaran tersebut ketika saya dan isteri menuntut di Pakistan kira-kira 10 tahun lalu. Bagaimanapun, saya kemudian meninggalkan ajaran itu selepas menyedari ia menyeleweng daripada Islam kira-kira tiga tahun lalu. "Bagaimanapun, isteri saya masih terpengaruh dan mereka enggan meninggalkan ajaran tersebut," ceritanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, sejak itu, dia menentang keras tindakan ahli keluarga dan menasihatkan mereka supaya meninggalkan kumpulan tersebut serta-merta.

Bagaimanapun menurut Zawawi, nasihatnya tidak diendahkan hingga menyebabkan isteri serta enam anaknya dilarikan oleh pengikut kumpulan tersebut. Dakwa Zawawi, dia telah membuat laporan di Balai Polis Rawang pada 9 Julai lalu mengenai kejadian itu tetapi belum ada sebarang tindakan. Sehingga kini, Zawawi mendakwa dia gagal menghubungi Samsiah untuk mengetahui perkembangan lanjut.

Kosmo! Online - Negara

No comments:

Post a Comment