Pages

Saturday, July 30, 2011

Rindu anak terpisah 31 tahun


TANAH MERAH: “Saya ibu yang mengandung dan melahirkannya, tetapi hanya sempat menatap wajahnya sehingga dia berusia setahun. Selepas itu, kami terpisah,” kata warga emas, Ramlah Mohd Salleh, 61, yang mengharapkan kepulangan anaknya, Shahrul Azwan Alias, 32.
Menurut Ramlah, anaknya itu hasil perkahwinan pertamanya dan diambil bekas suami sejak 31 tahun lalu.

“Hanya dia (Shahrul Azwan ) diambil bekas suami, manakala dua kakak, seorang abang dan seorang adiknya di bawah jagaan saya.

“Saya tidak pernah berjumpa anak saya itu sejak 31 tahun lalu dan saya amat merinduinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Kemahang Tiga, di sini, semalam.

Selain merindui anaknya itu, Ramlah menderita pelbagai jenis penyakit seperti asma, darah tinggi, jantung dan buah pinggang sehingga berulang-alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kota Bharu, untuk mendapatkan rawatan.

Ramlah berkata, selagi hayat masih ada, dia merayu anaknya itu menemuinya. “Walaupun terpisah sejak 31 tahun lalu, saya sentiasa mengingatinya. Saya berharap menemuinya selagi hayat masih ada.


“Datanglah menemui saya di sini. Saya sudah tua dan tidak mampu berbuat apa-apa dan mengharapkan bantuan anak untuk meneruskan hidup,” katanya.

Menurut Ramlah, sesiapa mempunyai maklumat anaknya itu boleh menghubunginya di talian 017-9136124.
http://www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment