Pages

Sunday, July 31, 2011

Ramadan boleh cetus revolusi

ORANG ramai berarak membawa bendera besar Syria ketika protes terhadap Presiden Bashar al-Assad selepas solat Jumaat, kelmarin.
ORANG ramai berarak membawa bendera besar Syria 
ketika protes terhadap Presiden Bashar al-Assad 
selepas solat Jumaat, kelmarin.


Bulan mulia rangsang remaja bantah terhadap ketidakadilan, penindasan 

DUBAI: Kerajaan di Asia Barat bersiap sedia berdepan dengan suasana tegang pada Ramadan yang bermula esok berikutan tercetusnya bantahan rakyat sejak beberapa bulan lalu di rantau itu.
“Ramadan memang menjadi bulan revolusi dan kemenangan sepanjang sejarah,” kata Abdullah al-Amadi, pengarah laman web berita Islamonline yang berpangkalan di Qatar.
“Saya berpendapat kedatangan bulan yang mulia itu akan merangsang golongan remaja di rantau Arab untuk menyempurnakan bantahan mereka terhadap ketidakadilan dan penindasan,” katanya. 

Amadi berkata, peningkatan terhadap tunjuk perasaan bagi mendapatkan demokrasi kemungkinan memuncak pada 10 hari terakhir Ramadan bantahan, tempoh yang dianggap paling mulia. 

Pihak berkuasa di Syria bimbang solat jemaah Tarawih yang diadakan setiap malam akan menjadi seperti solat Jumaat yang menyaksikan bantahan tercetus setiap minggu selepas penduduk meninggalkan masjid. 

Kumpulan Facebook ‘The Syrian Revolution 2011’ yang mendorong pergerakan bantahan menulis: 
“Rejim Syria bimbang terhadap kedatangan Ramadan dan solat Tarawih,” berikutan beberapa aktivis siber mendesak bantahan diadakan setiap malam selepas solat Tarawih. 

Di Libya pula, pemberontak yang sejak beberapa bulan lalu bertempur dengan tentera kerajaan Muammar Gaddafi berjanji akan meneruskan perjuangan mereka pada Ramadan. 

“Jika kami sedang bertempur dan rasa keletihan kami akan berbuka puasa. Tetapi jika kami sedang berkawal, kami tetap berpuasa,” kata Hatem al-Jadi seorang pejuang pemberontak berusia 24 tahun. 

Presiden Ali Abdullah Saleh dari Yaman yang berdepan dengan bantahan sejak Januari lalu dan kini dirawat di Arab Saudi berikutan serangan bom terhadapnya, akan menyaksikan peningkatan bantahan terhadap rejimnya pada Ramadan. 

“Kita akan membawa perubahan pada bulan Ramadan, terutama ketika Ali Abdullah Saleh tidak berada di Yaman,” kata Walid al-Omari seorang aktivis dari kumpulan Revolusi Remaja. 

Negara Arab lain turut mengambil sikap ‘baik berhati-hati daripada menyesal kemudian’ dengan memastikan harga barang pada bulan mulia itu dikawal rapi agar tidak mencetuskan bantahan rakyat. 

Di Mesir, kerajaan mengambil langkah untuk mengekalkan sistem subsidi yang menjamin harga bahan makanan asas seperti roti kekal rendah. – AFP http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment