Pages

Thursday, July 14, 2011

Pesawat milik Putera Mahkota Thai disita

PESAWAT milik Putera Mahkota Thailand, Maha Vajiralongkorn disita di sebuah lapangan terbang di Munich, Jerman semalam.


FRANKFURT, Jerman – Sebuah pesawat Boeing 737 yang digunakan Putera Mahkota Thailand, Maha Vajiralongkorn disita di sebuah lapangan terbang di Munich, Jerman oleh pihak pentadbiran bankrap di Jerman yang menuntut kerajaan Thai melunaskan pembayaran tertunggak kepada sebuah firma Jerman, Dywidag.

Disifatkan oleh pentadbiran Jerman sebagai “satu rampasan”, jet berkenaan kelmarin ditampal dengan beberapa pelekat dan borang daripada pegawai mahkamah.

“Kami menuntut hutang tertunggak lebih AS$42.9 juta (RM129.5 juta) sejak beberapa tahun lalu dan tindakan drastik ini merupakan usaha terakhir kami untuk mendapatkan pembayaran tersebut,” kata pegawai pentadbiran berkenaan, Werner Schneider.

Hutang itu tertunggak lebih 20 tahun lalu apabila Dywidag membantu membina jalan raya bertol sejauh 26 kilometer yang menghubungkan Bangkok dengan lapangan terbang Dong Muang.

Dywidag kemudian bergabung pada 2001 dengan Walter Bau AG sebelum firma berkenaan diisytiharkan muflis menyebabkan hutang itu tertunggak.

Putera Mahkota itu yang berusia 58 tahun adalah pewaris takhta jika ayahanda baginda, Raja Bhumibol Adulyadej mangkat.

Namun, Putera Mahkota itu dikatakan tidak popular berbanding ayahanda baginda. – Reuters

Kosmo! Online - Dunia

No comments:

Post a Comment