Pages

Sunday, July 24, 2011

Pemandu lori sehari bertugas maut nahas

ALOR GAJAH: Seorang pemandu lori yang baru sehari memulakan tugas, maut dilanggar beberapa kenderaan menyebabkan sebahagian besar anggota badannya putus dan bertaburan di atas jalan, di Kilometer 207 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Abdul Aziz Ramli, 46, dipercayai menyeberang jalan apabila dirempuh sebuah kereta menyebabkannya melambung ke laluan bertentangan sebelum digilis beberapa kenderaan.
Anak saudara mangsa yang juga saksi kejadian, Muhammad Amirul Ridzuan, 17, berkata, sebelum kejadian itu, mereka dalam perjalanan menghantar barang di sebuah syarikat pengeluaran makanan segera di Ayer Keroh, sebelum lori dinaiki kehabisan minyak kira-kira jam 5 petang.
"Saya mendapatkan bantuan peronda untuk membeli minyak di stesen berhampiran dan disebabkan botol yang ada kecil, pak cik (Abdul Aziz) terpaksa pergi kembali membeli minyak dengan menumpang kereta lain.

"Ketika melintas ke pembahagi jalan, sebuah kereta merempuhnya di lorong sebelah kanan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ketua Turus Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah, Cif Inspektor Muhd Zuki Abd Ghani mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mangsa yang berpengalaman membawa lori muatan tiga tan ditugaskan majikannya di Pulau Pinang menghantar barang di Ayer Keroh bersama anak saudaranya.
Ketika mangsa yang juga pesara tentera melintas dan menghampiri pembahagi jalan selepas membeli petrol, sebuah kenderaan dipandu seorang lelaki warga Singapura berusia 39 tahun yang dalam perjalanan dari arah Johor Bahru merempuhnya di lorong sebelah kanan.

"Akibat rempuhan kuat itu, mangsa melambung ke laluan bertentangan, sebelum digilis kenderaan lain menyebabkan badannya terputus beberapa bahagian," katanya.

Jenazah Allahyarham dituntut ahli keluarganya kira-kira jam 11.45 pagi semalam dan dibawa ke kampungnya di Taiping.
Berita Harian Online | Pemandu lori sehari bertugas maut nahas

No comments:

Post a Comment