Pages

Wednesday, July 13, 2011

Muslihat kalahkan musuh



Pergerakan senyap tentera Islam pada waktu malam adalah taktik perang yang berkesan untuk melakukan serangan mengejut dan dapat menawan musuh dengan lebih mudah. - Gambar hiasan


BAGI memerangi Kabilah Bani Asad yang merancang menawan Kota Madinah, Rasulullah SAW berpesan kepada Abu Salamah selaku Ketua Tentera supaya seluruh anggota tentera Islam seramai 150 orang itu berjalan hanya pada waktu malam. Pada waktu siang mereka diminta bersembunyi di lereng-lereng gunung.

Jalan yang hendak dilalui pula mestilah laluan yang berbeza. Bukan jalan yang biasa dilalui orang. Ini agar kedatangan pasukan tentera Islam tidak diketahui oleh pihak musuh.

Pada awal bulan Muharam tahun ke-4 Hijrah, pasukan tentera Islam mula berangkat dari Madinah secara senyap-senyap dan terus menuju ke daerah Najd, perkampungan Bani Asad.

Dalam beberapa hari sahaja mereka sampai ke perkampungan itu tanpa diketahui para penduduknya. Lalu tanpa membuang masa, seluruh perkampungan itu terus dikepung oleh tentera Islam.

Pada asalnya, kabilah Bani Asad telah merancang membuat serangan mengejut ke atas Madinah. Bagaimanapun, mereka cukup terkejut apabila mendapati mereka pula akhirnya yang terkepung.

Setelah mendapat arahan daripada Abu Salamah, tentera Islam terus melakukan satu serangan ke atas penduduk Bani Asad yang menyebabkan mereka tidak dapat bertahan sehingga terpaksa lari menyelamatkan diri.

Ini termasuklah ketua-ketua mereka yang sebelum ini begitu berkobar-kobar mahu bangkit menentang Rasulullah.

Tetapi kini merekalah yang paling pengecut dan yang paling dahulu melarikan diri bagi menyelamatkan tengkuk sendiri.

Mereka digempur habis-habisan sehingga seluruh perkampungan itu bertukar menjadi kelam kabut dan ditawan dengan mudahnya oleh tentera Islam.

Lalu Abu Salamah memerintahkan sebahagian anggota tenteranya supaya terus menawan perkampungan Bani Asad. Sebahagian lagi diarahkan memburu musuh-musuh yang melarikan diri.

Maka dalam tempoh yang singkat sahaja, keseluruhan perkampungan Bani Asad dapat ditawan.

Kabilah itu dapat dikalahkan. Segala harta benda dan haiwan ternakan mereka dijadikan harta rampasan perang.

Hasil kejayaan itu, anggota tentera Islam kembali semula ke Madinah dengan membawa harta rampasan perang yang apabila dibahagi-bahagikan setiap seorang mendapat tujuh ekor unta dan beberapa ekor kambing.

Perang itu dikatakan berlangsung dalam tempoh 10 hari. Malangnya Abu Salamah yang berjaya dalam misinya itu meninggal dunia sejurus pulang dari memerangi Kabilah Bani Asad.

Ia ekoran kecederaan yang dialaminya semasa Perang Uhud.

Begitulah semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh pahlawan seperti Abu Salamah yang tetap bertempur untuk melawan musuh-musuh Islam walaupun dirinya sendiri dalam keadaan yang masih luka dan cedera.

Tidak cukup dengan Bani Asad yang merancang menyerang dan menghapuskan umat Islam di Madinah, satu lagi kabilah Arab turut merancang melakukan serangan yang sama.

Baginda mendapat tahu kabilah tersebut, iaitu Kabilah Urnah (satu kabilah yang tinggal di sebuah lembah berdekatan dengan Arafah, Mekah).

Kabilah yang diketuai Khalid bin Sufyan Nabaih al Hudzali dikatakan sudah mengumpul pengikutnya dan menyusun strategi serta kekuatan bagi memerangi umat Islam di Madinah.

Mendengarkan semua ini, Rasulullah segera memerintahkan Abdullah bin Unais, seorang lagi pahlawan Islam yang gagah lagi pintar bertindak sebagai perisik untuk menemui sendiri ketua kabilah Urnah itu bagi memastikan kesahihan berita yang diterima itu.

"Berangkatlah kamu untuk menemui sendiri Khalid bin Sufyan dan siasatlah, benarkah dia ada mengarahkan supaya para pengikutnya untuk menyerang kedudukan kita di Madinah ini," ujar baginda.

Abdullah pun yang sudah tidak sabar-sabar lagi mahu menjayakan misi itu telah meminta baginda menerangkan bagaimana rupa paras dan sikap Khalid bin Sufyan itu.

"Sekiranya kamu bertemu dengan Khalid, seakan-akan kamu berjumpa dengan seekor syaitan. Antara tanda-tandanya, Khalid seorang yang berambut panjang dengan rupa paras yang pasti membuatkan kamu takut melihatnya.

"Namun kamu jangan bimbang, jika kamu pintar dan bijak, pastinya syaitan ini boleh ditundukkan. Andai benar dia merancang untuk menyerang umat Islam, kamu tiada pilihan kecuali Khalid mesti dibunuh," kata baginda.

Abdullah memahami sepenuhnya segala penjelasan dan arahan baginda itu lalu segera memohon untuk berangkat seorang diri bagi menjayakan satu misi penting yang boleh mencetuskan segala kemungkinan

Andai tersilap langkah, segala-galanya akan menjadi padah!

Utusan Malaysia Online - Bicara Agama

No comments:

Post a Comment