Pages

Sunday, July 3, 2011

Lelaki Jepun ikat perut

Isteri berjimat belanja isi rumah kerana tekanan deflasi

TOKYO: Lelaki Jepun menyaksikan kadar elaun mereka berkurangan sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga dekad lalu ketika isteri mereka semakin berusaha berjimat dari segi perbelanjaan isi rumah disebabkan keadaan ekonomi yang terperangkap dalam deflasi.
Dikenali di Jepun sebagai golongan lelaki bergaji, mereka menerima 36,500 yen (RM1,374.09) sebulan untuk wang saku, berjumlah AS$15 (RM45.74) sehari dan itu adalah jumlah terkecil sejak 1982, menurut tinjauan Shinsei Financial Co yang disiarkan baru-baru ini.
Bagi wanita Jepun yang sudah berumah tangga dan berkeluarga, adalah sesuatu yang biasa bagi mereka untuk menguruskan pendapatan suami.

Tidak hairanlah, pertumbuhan ekonomi Jepun kurang satu peratus setiap tahun sejak 10 tahun lalu menjerut kadar bayaran, memaksa suri rumah mengurangkan wang saku suami dan memburukkan lagi deflasi yang melingkari ekonomi selama lebih sedekad.

Kadar gaji semakin berkurangan sejak gempa dan tsunami 11 Mac lalu hingga menjejaskan sentimen isi rumah menghampiri paras terendah sejak dua tahun lalu, menjadikan ekonomi dipacu pengguna kurang mendapat dorongan.

“Keadaan ini menjadikan saya sedih sedikit,” kata Hiroshi Miyazaki, ketua unit ekonomi di Shinkin Asset Management Co di sini. “Ini disebabkan tempoh deflasi yang agak lama. Malangnya, keadaan ini akan berterusan.”
Elaun pekerja mencapai kemuncaknya pada 1990, iaitu detik aset dan hartanah negara Matahari Terbit itu melambung dengan lelaki menerima wang saku bulanan 76,000 yen (RM2,847.83), lebih dua kali ganda berbanding yang mereka terima sekarang, menurut tinjauan.

Dalam laporan terbaru itu, responden berkata, mereka paling banyak berbelanja wang saku itu untuk makan tengah hari, menghabiskan secara purata 490 yen (RM18.36). Ia bersamaan harga burger keju dengan kentang goreng kecil dan minuman ringan di McDonald’s.

“Rakyat semakin sederhana dalam sikap mereka membelanjakan wang,” kata Shinsei dalam laporan. Ia sudah menjalankan tinjauan itu sejak 1979, membabitkan maklum balas kira-kira 1,000 lelaki berusia 20 hingga 50-an.

Untuk menyimpan wang, pekerja berkata, mereka membawa bekal sendiri ke tempat kerja dan kurang makan di luar. Lelaki keluar makan 2.9 kali sebulan selepas kerja dan membelanjakan purata 3,540 yen (RM132.63) setiap kali, menurut tinjauan.

Ia jauh lebih rendah berbanding 2009 apabila kadarnya mencapai lebih 6,000 yen (RM224.76).

Rangkaian perniagaan kedai minuman dan pub, Watami Co, antara perniagaan terjejas akibat cubaan pengguna untuk kurang berbelanja. Jualan syarikat sama menurun 6.4 peratus Mei lalu berbanding tahun sebelumnya, menandakan penurunan bulan kelima berturut-turut. – Agensi
Berita Harian Online | Lelaki Jepun ikat perut

No comments:

Post a Comment