Pages

Saturday, July 2, 2011

Kulit Tohari sekeras kayu


SURABAYA - Dilihat penampilan fizikalnya, tidak ada yang salah dengan Tohari, lelaki berusia 34 tahun yang sekilas pandang sama seperti orang lain.

Namun, lengannya keras seperti kulit kayu apabila dicubit.Kelopak matanya pula sukar dibuka secara sempurna dan kerongkongnya turut menyempit, manakala rahangnya kini semakin kaku dan dia juga mengalami kesukaran menyebut huruf R.

Tahap kekerasan kulit Tohari berlainan dengan orang normal. Kulit lengannya sangat kaku sehingga tidak boleh dicubit sementara memukul bahu atau punggungnya seperti memukul benda keras, seolah-olah ada pelindung keras di sebalik kulitnya.

Ditemui di rumah bapa angkatnya di Jalan Nginden 3/4 Surabaya pada Isnin lalu, Tohari mengaku dia mula mengalami keadaan itu sekitar 2006.

Kali pertama dia menyedarinya daripada seorang tukang gunting di kampung halamannya di Ngadibuyut, Mukim Rejoso, Nganjuk.

"Tukang gunting rambut memegang tengkuk saya dan berkata 'Lho, tengkuknya keras'. Meskipun hairan, saya masih menganggapnya sebagai perkara biasa. Lagipun, keadaan saya ketika itu baik-baik saja," kata lelaki itu.

Tohari mengabaikannya sehinggalah dia menyedari bahagian yang mengeras itu telah menjalar ke seluruh tubuh.

Secara perlahan-lahan, kulit muka, bahu, perut, hingga pahanya mula mengeras, bahkan, kelopak matanya pun ikut mengeras, dan hanya kulit betisnya yang masih normal kerana belum mengalami keadaan aneh itu.

Tidak sekadar itu, kesan daripada kulit keras turut membuat alat sulitnya mengecil, meskipun masih boleh berfungsi seperti biasa, katanya.

Walaupun sebahagian besar kulitnya mengeras, Tohari tidak pernah mengalami sakit, demam, atau masalah lain.

Bapa kepada seorang anak itu sudah menemui pakar kulit di hospital Nganjuk, tetapi dia tidak berpuas hati dengan jawapan empat doktor pakar yang ditemuinya.

Mereka 'hanya' memberikan ramuan ubat herba dan 10 botol air mineral. "Sudah saya minum, tetapi keadaan saya tetap sama, tidak bertambah baik," katanya.

Tohari dan keluarga angkatnya turut mencuba perubatan alternatif dan cara rawatan Islam tetapi hasilnya sama saja, bahkan kini dia berasa organ dalamannya mulai terjejas.

"Saya juga sukar menelan ketulan makanan yang agak besar kerana kerongkong menyempit. Bahkan, saya nyaris mati tercekik kerana potongan bakso tersangkut di dalam kerongkong," tambahnya.

Ayah angkat Tohari, Iswahyudi, 48, mengaku tidak tahu ke mana lagi hendak membawa lelaki itu bagi mendapatkan rawatan.

Jelas Iswahyudi, meskipun kulit Tohari keras, bukan bererti dia kebal senjata, malah kulitnya tetap boleh terluka dan berdarah bila ditoreh dengan pisau. Begitu juga ketika digigit nyamuk, Tohari juga berasa gatal.

Iswahyudi berkata, anak angkatnya taat beragama dan tidak pernah melupakan solat lima waktu, tidak pernah meneguk minuman keras atau main perempuan.

Kerana itu, dia sangat yakin Tohari tidak memakai azimat atau seumpamanya sehingga menjadi seperti ini. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment