Pages

Saturday, July 16, 2011

Kerana batu-bata suami bunuh isteri



PENDUDUK kampung mengangkat jenazah Siti Fatimah yang mati kerana dikatakan dipukul suami di Kampung Urek-urek, Malang, Jawa Timur untuk dibawa ke tanah perkuburan.


MALANG, Jawa Timur - Seorang isteri, Siti Fatimah, 35, maut selepas dipukul suaminya, Abdul Aziz di Kampung Urek-urek, Daerah Malang, di sini Ahad lalu, selepas pasangan tersebut disyaki bertengkar mengenai masalah urusan jual beli batu-bata milik mangsa.

Penghulu Kampung Urek-urek, Riyanto berkata, tragedi tersebut berlaku apabila pasangan suami isteri itu bertengkar sekitar pukul 10 malam pada hari kejadian.

"Saya mengetahui kejadian ini selepas dimaklumkan penduduk kampung. Mereka mengatakan Siti Fatimah telah meninggal dunia akibat dipukul suaminya," jelasnya.

Menurut maklumat yang diketahui Riyanto, pertengkaran pasangan itu berpunca daripada masalah berkaitan urusan jual beli batu-bata.

"Namun kejadian tersebut masih belum dipastikan kerana hanya anak mangsa sahaja yang mengatakan ibunya telah dipukul bapanya," katanya.

Selepas berlaku pertengkaran mulut, Abdul Aziz secara tiba-tiba memukul isterinya menggunakan kayu dan dia sempat membawa Fatimah ke hospital Al Basiroh di Turen untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, mangsa tidak dapat diselamatkan dan jenazah dibawa ke klinik Dr. Saiful Anwar di Malang sebelum dikebumikan.

Tidak lama selepas kejadian itu, Riyanto menghubungi pihak polis yang bertindak pantas menangkap Abdul Aziz di rumah ibu bapanya yang tinggal di kampung yang sama.

Kini, Abdul Aziz sedang disoal siasat oleh pihak polis dan motif pembunuhan tersebut masih belum diketahui.

Keluarga mangsa yang ditemui di rumah mayat, enggan memberi sebarang komen kerana masih bersedih dengan kejadian tersebut. - Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment