Pages

Saturday, July 16, 2011

Israel bedil Gaza, 4 penduduk Palestin cedera



Penduduk Palestin memerhati sebuah jentolak membersihkan runtuhan bangunan dekat sebuah terowong yang rosak selepas terkena bedilan jet pejuang Israel di Rafah, selatan Genting Gaza, kelmarin. - REUTERS


GAZA CITY 15 Julai - Jet pejuang Israel menyerang Genting Gaza lewat petang semalam sebanyak tiga kali mengakibatkan sekurang-kurangnya empat penduduk Palestin cedera.

Serangan itu merupakan lanjutan serangan yang telah tercetus sejak beberapa hari lalu.

Pegawai keselamatan dan saksi menyatakan jet Israel membedil tiga lokasi; dua di Gaza City dan yang ketiga di Khan Younis jauh di selatan.

Israel mendakwa kawasan-kawasan tersebut digunakan oleh Hamas dan kumpulan militan Palestin.

Sementara itu, pejuang Palestin melancarkan lima roket ke selatan Israel dari Gaza.

Malam Rabu lalu, jet pejuang Israel menyerang tiga terowong, dua daripadanya didakwa digunakan untuk menyeludup barangan ke selatan Gaza dan sebuah lagi digunakan untuk aktiviti pengganas di utara Palestin.

"Terowong-terowong itu menjadi sasaran Israel sebagai tindakan balas ekoran serangan roket Palestin di selatan Israel sebelum itu," kata tentera Israel.

Pegawai perubatan di Palestin melaporkan lima orang cedera dalam serangan tersebut dan dua lagi dilaporkan hilang.

Selasa lalu, Israel melancarkan serangan udara ke kawasan yang digelar tentera Israel sebagai pusat pembuatan senjata di utara Gaza dan seorang wanita dilaporkan cedera dalam kejadian itu. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment