Pages

Wednesday, July 27, 2011

Ibu tunggal dakwa ditipu rakan Facebook


MAIMUN menunjukkan laporan polis yang dibuat.
MAIMUN menunjukkan laporan polis yang dibuat.


JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal tidak menyangka kenalan baru yang mengaku sebagai pegawai polis yang dikenalinya menerusi laman sosial Facebook, tergamak menipunya dalam urusan jual beli komputer riba.

Ibu kepada empat anak yang mahu dikenali sebagai Maimun, 39, berkata beliau mengenali lelaki terbabit selepas menerimanya sebagai rakan Facebook dan selepas itu mendakwa dirinya pegawai polis berpangkat Inspektor.
“Saya kenal dia menerusi Facebook saja pada 5 Julai lalu dan kami tak pernah berjumpa dengan dia. Selepas berkawan, dia mendakwa dirinya pegawai polis dan ada menjual barangan seperti komputer riba dan telefon bimbit pada harga yang murah.
“Berikutan tawaran yang dibuat, saya bersetuju membeli sebuah komputer riba pada harga RM300 daripadanya dan diminta memasukkan wang bayaran ke dalam akaunnya pada 12 Julai lalu.

“Dia berjanji, barangan yang dibeli itu akan sampai dalam masa dua hari. Malangnya, selepas dua minggu, barang dijanjikan tidak sampai ke rumah. Apabila menghubunginya, dia seperti tidak tahu barang tersebut tidak sampai ke tangan saya, sedangkan dia berurusan dengan syarikat penghantaran, " katanya.

Maimun yang juga pengusaha sebuah pusat kecantikan, berkata selepas itu lelaki terbabit berjanji memastikan barang itu sampai dalam masa dua atau tiga hari lagi sehinggalah semalam, genap dua minggu pembayaran dibuat, beliau belum menerima barang dijanjikan dan meminta lelaki terbabit untuk memulangkan semula RM300 kepadanya.

Katanya, lelaki itu bersetuju memulangkan wang berkenaan dan pada 19 Julai lalu, dia menghantar SMS menyatakan sudah memindahkan wang secara dalam talian, namun memeriksa baki akaun, ternyata wang itu masih tidak dikembalikan.
“Saya menaruh kepercayaan kerana dia mendakwa dirinya pegawai polis dan secara kebetulan menjual barangan elektronik pada harga yang sangat murah, langsung tidak menyangka dia tergamak menipu selepas memberi semua butiran peribadi termasuk nombor akaun," katanya.

Katanya, berikutan kejadian itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Johor Bahru pagi semalam supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan mengesan lelaki terbabit bagi mengelak lebih ramai orang menjadi mangsa penipuannya.Berita Harian Online | Ibu tunggal dakwa ditipu rakan Facebook

No comments:

Post a Comment