Pages

Saturday, July 16, 2011

Ibu, anak maut tercampak keluar dari lori



ANGGOTA polis mengangkat mayat kanak-kanak berusia setahun yang maut bersama ibunya dalam kemalangan di KM 252.9 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur masuk Plaza Tol Senawang, semalam. Gambar kecil, Che Rosdi Ahamad.


SEREMBAN 15 Julai - Seorang ibu dan bayinya yang baru berusia setahun terbunuh selepas tercampak keluar dari lori dipandu suaminya selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 252.9, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur masuk Plaza Tol Senawang hari ini.

Dalam kejadian menyayat hati yang berlaku pukul 5.45 petang itu, mangsa, Dalila Hashim, 40, bersama anaknya, Che Najwan Hanif Che Rosdi, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan badan.

Pemandu lori tersebut, Che Rosdi Ahamad, 33, turut cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, ketika kejadian, tiga beranak itu dalam perjalanan dari Melaka menghala ke Selangor selepas menghantar makanan sejuk beku sebelum terbabit dalam kemalangan itu.

Jurucakap polis memberitahu, lori yang dipandu Che Rosdi dikatakan bergesel dengan sebuah kereta jenis Proton Perdana sebelum kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan.

"Berikutan kejadian itu, katanya, lori itu terbalik beberapa kali menyebabkan dua penumpang dalam kenderaan itu tercampak keluar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut jurucakap polis, pemandu Perdana iaitu seorang lelaki berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan dan membuat laporan polis berhubung kemalangan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin yang mengesahkan kejadian itu berkata, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke HTJ untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga mereka," katanya.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

No comments:

Post a Comment