Pages

Friday, July 22, 2011

Gila si gila!

MARAN: “Saya lihat dua beradik itu menggelupur kesakitan akibat disimbah cuka getah. Hati saya sedih melihat mereka meraung kesakitan,” kata Siti Aishah Rohaisha Hanafi, 28, saksi kejadian dua beradik disimbah cuka getah oleh seorang lelaki dipercayai kurang siuman di Felda Jengka 9, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Shafiq Haikal Mat Safar Zaidi, 13, dan adiknya, Shafiq Aiman, sembilan tahun, parah di muka dan beberapa bahagian tubuh akibat terkena cuka getah.


Difahamkan, Shafiq Haikal yang baru selesai mengaji, mengajak adiknya ke rumah rakan sekolahnya untuk mengulang kaji pelajaran.

Sebaik tiba di depan rumah rakannya, suspek dikatakan berlari ke arah mereka sebelum menyimbah cecair dipercayai cuka getah dan terkena muka serta tubuh mangsa.


Akibat simbahan itu, dua beradik terbabit meraung serta menggelupur menahan kesakitan sebelum jeritan mereka didengar penduduk berhampiran yang pantas memberi bantuan.


Ibu saudara mangsa, Zafrida Che Sham, 41, berkata dia terkejut dimaklumkan kejadian menimpa anak saudaranya itu.

“Kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia hampir membunuh dua anak saudara saya. Apa salah dua beradik itu sehingga mereka diperlakukan begitu rupa,” katanya, semalam.

Zafrida berkata, dia menyerahkan sepenuhnya kes terbabit kepada polis untuk melakukan siasatan dan seterusnya mengambil tindakan terhadap suspek.

Dia mendakwa suspek jarang bergaul dengan penduduk kampung dan dia lebih banyak bersendirian di dalam rumah selain tidak mengetahui apa penyakit sebenar dihidapi lelaki itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.


Menurutnya, dua beradik itu cedera parah di muka dan tubuh serta dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).


Katanya, susulan kejadian itu, polis menahan reman suspek yang berusia 31 tahun selama enam hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Maran untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.


Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Mazlan Mohamad pula berkata, beliau akan menghantar pegawainya hari ini untuk melihat keadaan dua beradik berkenaan.


“Saya tidak mahu membuat ulasan kerana kes terbabit masih dalam siasatan polis.


“Saya cuma dapat mengesahkan dua beradik terbabit diserang suspek, namun punca sebenar kejadian tidak dapat dipastikan,” katanya, semalam.


Katanya, beliau akan memberi bantuan bagi meringankan beban keluarga dua beradik terbabit memandangkan kes itu serius.

myMetro | Gila si gila!

No comments:

Post a Comment