Pages

Tuesday, July 5, 2011

DNA 3 mangsa pada kayu kriket

SHAH ALAM 4 Julai - Pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya telah merancang serta membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi ketika umat Islam sedang berpuasa pada 30 Ogos tahun lalu.

Ketua Unit Jenayah Am dan Jenayah Seksual, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Ishak Mohd. Yusoff ketika membuka tirai pendakwaan berkata, plot pembunuhan keempat-empat mangsa akan dikemukakan melalui keterangan dua lagi pekerja ladang, U. Suresh dan T. Sarawanan.

Menurut beliau, ia akan turut dibuktikan melalui corak panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dibuat oleh keempat-empat mangsa kepada ahli keluarga masing-masing pada saat-saat akhir sebelum mereka dibunuh.

''Keempat-empat mangsa telah dibunuh di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting Selangor. Pembunuhan dikatakan berlaku pada 30 Ogos 2010, antara pukul 8.30 dan 9.45 malam di ladang milik Pathmanabhan. Semasa pembunuhan, keempat-empat tertuduh berada di ladang tersebut.

''Suresh dan Sarawanan akan memberi keterangan bagi membuktikan tentang niat bersama mereka dan bagaimana perancangan tertuduh pertama dan tertuduh keempat bersama yang lain untuk melakukan pembunuhan terhadap keempat-empat mangsa serta peranan yang dimainkan mereka serta bagaimana tertuduh kedua membunuh setiap mangsa,'' katanya.

Pathmanabhan, 42, bersama T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, pemandu wanita tersebut, Kamarudin Shamsudin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38.

Mereka dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini mulai hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Menurut Ishak, pada pukul 7.30 malam hari kejadian, Sosilawati menghubungi kawannya, Habishah Bahari dan memberitahu: ''Wei, aku tak percaya kat Kamal masuk dalam bilik aku, pergi kat bilik air, kau check ada kamera tersorok tak.''

Ia diikuti panggilan oleh Ahmad Kamil kepada isterinya, Sabrina Adnan pada pukul 7.45 malam memberitahu, dia tidak akan pulang ke rumah selama tiga hari kerana mahu menolong Sosilawati yang diugut oleh orang kanannya, Kamal (Kamarudin).

Jelas beliau, peguam itu juga memberitahu Kamal mengugut hendak menyebarkan gambar Sosilawati yang tidak elok dan memberitahu jutawan itu sedang menangis.

''Suzana Radin Pangit akan memberi keterangan menerima panggilan pada pukul 8.15 malam daripada suaminya, Noorhisham memberitahu dia tidak akan balik selama tiga hari kerana hendak menolong Sosilawati berikutan Kamal ada mengambil gambar dan dikatakan mengugut Sosilawati.

''Dia meminta maaf banyak-banyak dan meminta Suzana faham.

''Pada pukul 8.40 malam, Sosilawati juga ada menghubungi anaknya, Erni Dekritawati tetapi beliau tidak perasan dan juga menerima mesej berbunyi: 'Jangan bagi Kamal masuk rumah jika datang hubungi Bisah dia ambil gambar mak,'' jelas pendakwa raya tersebut.

Menurut Ishak, keterangan itu akan disokong oleh saksi R. Vakasan yang dipanggil untuk mengesahkan dia melihat Sosilawati datang bersama tiga lelaki Melayu dengan menaiki kereta BMW hitam pada pukul 6.40 petang hari kejadian.

Ia akan perkukuhkan oleh keterangan Ketua Seksyen Asid Deoksiribonukleik (DNA) Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Lim Kong Boon berhubung penemuan DNA Noorhisham pada kayu kriket dan DNA Kamarudin serta Ahmad Kamil pada zink yang digunakan sebagai alas untuk membakar mayat mereka.

Begitu juga keterangan saksi berhubung penemuan jam tangan jenama Longines milik Ahmad Kamil di bilik tidur rumah V. Selvapandian, saksi yang akan mengesahkan dia menerima jam tangan itu daripada Suresh.

Tidak ketinggalan penemuan jam tangan Seiko milik Kamarudin, jam tangan Bell & Ross dan telefon bimbit Blackberry Bold warna putih milik Ahmad Kamil, telefon Blackberry warna hitam, sebatang anak kunci hitam bertulis BMW dan pemegang kunci tertulis perkataan Sytner.

Sementara sebilah pisau berkarat hulu besi sepanjang 37 sentimeter, lapan gelung dawai dan tiga serpihan dawai, serpihan tulang-tulang disyaki tulang manusia, beberapa keping logam dan beberapa anak kunci dan sekarung plastik pula ditemui di kawasan pembuangan abu mayat.

Tertuduh-tertuduh diwakili peguam-peguam Manjeet Singh Dhillon, Puspha Ratnam, Amer Hamzah Arshad, Datuk Ng See Teong, Ravi Nekoo dan Gurbachan Singh.

Peguam Kamarudin Ahmad pula hadir sebagai peguam pemerhati mewakili keluarga Sosilawati.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

No comments:

Post a Comment