Pages

Saturday, July 9, 2011

Desak perubahan demokratik

Rakyat Mesir berhimpun mahu tentera heret sekutu Hosni ke muka pengadilan

KAHERAH: Ribuan rakyat Mesir mengambil alih jalanan di ibu negara dan bandar utama semalam untuk mempertahankan pemberontakan yang menggulingkan Presiden Hosni Mubarak, menghalakan kemarahan mereka kepada pemerintah tentera berhubung perkembangan perlahan reformasi.

Penunjuk perasaan yang mengibarkan bendera berkumpul di dataran Tahrir di sini untuk mendesak perubahan demokratik dan menuntut bekas ahli rejim dituduh melakukan penindasan dihadapkan ke muka pengadilan.
Satu pentas besar didirikan di dataran itu, pusat tumpuan bantahan yang menyingkirkan Mubarak Februari lalu, pada perhimpunan yang secara rasmi bermula selepas solat Jumaat.
Khemah didirikan di tengah Tahrir, dan satu tempat berteduh besar menutupi tengah dataran menyediakan bantuan amat diperlukan untuk berlindung daripada panas terik dan suhu 37 darjah celsius.

“Revolusi kami diteruskan,” terpapar pada satu kain rentang di tepi dataran.
Memegang satu tanda besar, seorang lelaki mengadu: “Kami tidak berasa perubahan. Kami menyingkirkan Mubarak dan mendapat seorang Field Marsyal tentera.”

Beliau merujuk kepada Hussein Tantawi, ketua Majlis Agung Tentera yang mengambil alih kuasa Februari lalu dan berazam memberi laluan kepada sistem demokratik.
Namun pasukan tentera, dianggap sebagai hero pada permulaan kebangkitan kerana tidak memihak Mubarak dikecam kumpulan hak asasi tempatan dan antarabangsa atas dakwaan penderaan.

Ribuan penduduk juga berkumpul di bandar Mediterranean di Iskandariah dan beratus membuat bantahan di bandar terusan, Suez.

Antara tuntutan utama dalam bantahan semalam adalah menamatkan perbicaraan tentera ke atas orang awam, pemecatan dan membicarakan pegawai polis yang dituduh membunuh penunjuk perasaan serta perbicaraan menyeluruh dan telus terhadap bekas pegawai rejim.

Aktivis berulang kali mengecam pengurusan prosiding perundangan ke atas pasukan keselamatan yang menggunakan keganasan maut dalam kebangkitan yang menggulingkan Mubarak, mengorbankan 846 orang awam.

Aktivis pro-demokrasi berkata pegawai polis yang bertanggungjawab atas penindasan sebelum dan ketika kebangkitan masih menjalankan tugas mereka.

Pasukan keselamatan akan menyaksikan perhimpunan dari jauh untuk mengelak pertempuran ketika kerajaan Mesir memberi amaran terhadap sebarang usaha mencetuskan huru-hara. – AFP
Berita Harian Online | Desak perubahan demokratik

No comments:

Post a Comment