Pages

Monday, July 25, 2011

Cucu berpakat ragut nenek dijel


SHAMSUL (dua dari kiri) dan Mohd. Ikhwan dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Seorang cucu bukan saja tergamak berpakat dengan rakan untuk merompak neneknya dalam kejadian di sebuah rumah di Ketereh di sini bulan lalu malah sanggup membiarkan warga emas itu ditolak oleh rakannya ketika meragut rantai emas dipakai mangsa. Tindakan jahat cucu warga emas, Shamsul Kahar Mohamad, 30, rakan sebayanya, Mohd. Ikhwan Abdullah, menerima balasan apabila masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan 10 tahun selepas mereka mengaku salah atas pertuduhan merompak Rokiah Boto, 78, di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Irwan Suainbon turut mengenakan lima kali sebat terhadap setiap tertuduh. Shamsul dan Mohd. Ikhwan didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas Rokiah dengan melarikan seutas rantai tangan emas dan seutas rantai leher emas yang bernilai RM6,000 dipakai mangsa di dalam rumah wanita itu di Taman Binjai Manis, Ketereh pada pukul 1 petang pada 28 Jun lalu. Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Hakim Irwan menyifatkan kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh serius dan mengarahkan mereka menjalani hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh jatuh hukum iaitu semalam. Menurut fakta kes, Shamsul dan rakannya, Mohd. Ikhwan pergi ke rumah Rokiah pada hari kejadian dan berpura-pura meminta air daripada wanita itu. Rokiah kemudian masuk ke dapur sebelum Mohd. Ikhwan mengekori mangsa dengan bertanyakan di mana tandas.

Mohd. Ikhwan kemudian menolak dan memeluk mangsa sebelum suspek menarik rantai leher emas yang dipakai mangsa. Rokiah menjerit meminta tolong namun cucunya, Shamsul bersama rakannya kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal. Kejadian ditolak dan diragut itu menyebabkan mangsa menderita sakit di seluruh badan. Shamsul kemudian ditangkap polis pada 4 Julai lalu diikuti Mohd. Ikhwan empat hari kemudian.

Hasil siasatan polis mendapati barang kemas yang dirompak telah dijual oleh kedua-dua tertuduh yang merupakan penganggur itu sebelum hasilnya dikongsi bersama.

Semasa rayuannya, Shamsul dari Padang Enggang, Jalan Pasir Hor, berkata, dia melakukan perbuatan itu kerana berada dalam pengaruh dadah selepas mengambil pil kuda dan sudah seminggu tidak tidur. Mohd. Ikhwan dari Kampung Kubur Kuda, Kota Bharu yang mempunyai empat rekod jenayah pula dalam rayuannya berkata, dia meminta hukuman diringankan kerana sudah insaf. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari memohon kedua-dua tertuduh diberikan hukuman yang setimpal atas kesalahan yang dilakukan.

“Apabila mangsa menjerit meminta tolong, cucu sepatutnya membantu tetapi dalam kes ini cucu bukan sahaja membiar neneknya disakiti bahkan telah melarikan diri dengan motosikal. “Jenayah dalam kes ini amat berat iaitu di dalam rumah sendiri, melibatkan warga tua dan ahli keluarga sendiri,” kata beliau. Menurut Asmah lagi, alasan tertuduh pertama iaitu cucu mangsa bahawa ia melakukan perbuatan itu atas pengaruh dadah bukan satu pembelaan yang boleh diterima mahkamah. “Dadah itu diambil sendiri oleh tertuduh dan bukan dengan paksaan,” kata Asmah.

Kosmo! Online - Negara

No comments:

Post a Comment