Pages

Thursday, July 14, 2011

Cahaya lampu punca suspek amuk



HULU SELANGOR: Berang akibat tidurnya terganggu berikutan kegagalan rakan serumahnya menutup lampu, seorang lelaki warga Vietnam dikatakan naik angin dengan menikam tiga rakan serumahnya di rumah kedai Bukit Sentosa, di sini, awal pagi semalam.
Kejadian jam 1 pagi itu menyebabkan dua rakan berusia 20-an bekerja di kilang tin, mati di lokasi kejadian akibat parah di perut, manakala seorang lagi cedera parah dan dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.
Kejadian dikatakan berpunca apabila suspek berusia 28 tahun sedang tidur di ruang tamu rumah kedai itu, manakala tiga rakan serumahnya masih berborak sebelum tertidur tanpa menutup lampu.

Suspek yang mengalami gangguan tidur akibat cahaya lampu itu bangun mengamuk dan bertindak mengambil pisau di dapur sebelum menikam tiga rakannya dan melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Fendi, berkata akibat kejadian itu, dua rakannya mati di lokasi kejadian akibat kecederaan di perut dan dada, manakala seorang parah.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati, mangsa yang maut mempunyai satu hingga tiga tikaman di perut dan dada, manakala seorang lagi akibat pergelutan hampir 20 minit,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Norel Azmi berkata, suspek bagaimanapun berjaya ditahan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian pada jam 2 pagi hari sama dan menemui sebilah pisau dipercayai digunakan untuk menikam rakannya.

“Empat rakan serumah berusia 20 hingga 30 tahun itu bekerja di kilang tin tidak jauh dari kediaman mereka sejak beberapa tahun lalu dan hasil pemeriksaan tiada rekod jenayah lampau,” katanya.
Berita Harian Online | Lelaki tikam tiga rakan ganggu tidur

No comments:

Post a Comment