Pages

Tuesday, July 5, 2011

Bukti peguam rancang bunuh Sosilawati


PATHMANABHAN (kanan), Matan (depan), Khatavarayan (kanan) dan Thilaiyagan (belakang) dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor semalam.


SHAH ALAM - Pihak pendakwaan semalam mengemukakan keterangan bagi membuktikan bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya telah melakukan pembunuhan ke atas jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya berdasarkan penemuan DNA milik mangsa-mangsa pada barang-barang kes.

Bukti itu akan dikemukakan melalui keterangan saksi yang menemui DNA milik seorang daripada mangsa iaitu pegawai bank, Noorhisham Mohammad pada kayu kriket dan DNA peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin pada zink-zink yang digunakan sebagai alas untuk membakar mayat-mayat mangsa.

Dua pekerja ladang Pathmanabhan, U. Suresh dan T. Sarawanan akan dipanggil memberi keterangan bagi membuktikan bagaimana perancangan oleh Pathmanabhan dan tertuduh keempat, R. Khatavarayan bersama yang lain untuk melakukan pembunuhan ke atas keempat-empat mangsa.

Kemuncak keterangan itu, Suresh dan Sarawanan akan memberi keterangan mengenai peranan setiap tertuduh dan bagaimana tertuduh kedua, T. Thilaiyagan membunuh setiap mangsa. Suresh dan Sarawanan sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana melupuskan mayat Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin. Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, R. Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, 38, Ahmad Kamil, 32, dan Kamaruddin, 44.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff berkata demikian dalam ucapan pembukaannya pada permulaan perbicaraan kes bunuh itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir. Ishak dalam ucapannya memberitahu, antara saksi yang akan memberi keterangan termasuk Erni Dekritawati Buhari, anak Sosilawati. Erni akan memberi keterangan berhubung khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima daripada Sosilawati bertulis: "Jangan bagi Kamal masuk rumah, jika datang hubungi Bisah dia ambil gambar mak."

Kosmo! Online - Negara

No comments:

Post a Comment