Pages

Friday, July 15, 2011

Budak AS dibunuh, mayat dikerat-kerat

NEW YORK: Seorang budak lelaki berusia lapan tahun dari Brooklyn yang tersesat ketika pulang sendirian dari perkhemahan di kejiranan Yahudi Ortodoks dibunuh dan anggota badannya dikerat-kerat oleh seorang lelaki yang ditanya mangsa arah ke rumahnya.

Mayat budak itu kemudian ditemui disumbatkan ke dalam tong sampah dan peti sejuk suspek, kata polis semalam.

Pembunuhan ngeri Leiby Kletzky itu mengejutkan kejiranan puak Yahudi Hasidik di Borough Park, kerana ia adalah antara kawasan paling selamat di New York dan lelaki yang ditahan itu seorang penganut fahaman Yahudi Ortodoks.

Usaha sehari suntuk mencari budak itu berakhir dengan penemuan kakinya yang sudah dipotong dalam sebuah peti ais di rumah suspek, yang telah dilihat bersama budak berkenaan dalam satu rakaman video, kata seorang pegawai kepada agensi berita The Associated Press (AP).

Baki tubuh mangsa ditemui dalam tong sampah di sebuah kawasan kejiranan lain.

'Ia satu igauan paling buruk bagi setiap ibu bapa,' kata Persuruhjaya Polis, Encik Raymond Kelly.

Levi Aron, suspek berusia 35 tahun itu, terbabit dalam pembunuhan itu, dedah beliau.

Polis berkata tidak ada bukti bahawa budak lelaki itu diserang secara seksual dan motif pembunuhan juga masih belum jelas.

Menurut polis, Aron 'panik' apabila dia terlihat gambar budak yang hilang itu pada lembar-lembar iklan yang diedarkan di kawasan kejiranannya.

Apa yang dilakukan polis sekarang ialah melihat sama ada Aron mempunyai sejarah penyakit mental. Dia ditahan atas dakwaan melakukan pembunuhan darjah kedua - satu pembunuhan tidak dirancang.

Pejabat pemeriksaan perubatan berkata ia sedang menyiasat bagaimana budak itu dibunuh.

Apabila para detektif tiba di apartmen loteng suspek sekitar 2.40 pagi (waktu tempatan), mereka bertanyakannya di mana mangsa, dia menganggukkan kepalanya sambil menunjuk ke arah dapur, kata Encik Kelly.

Para detektif melihat darah pada pintu peti ais suspek dan menemui kaki yang dibungkus dalam beg plastik, kata seorang pegawai atas syarat namanya tidak didedahkan.

Sekeping papan potong dan tiga bilah pisau berlumuran darah ditemui dalam peti sejuk itu, bersama sebuah beg plastik sampah dan tuala-tuala dengan kesan darah berdekatan peti sejuk itu.

Aron kemudian memberitahu polis di mana baki anggota tubuh budak itu; ia sudah dikerat-kerat dan dibungkus dengan beg-beg plastik dalam sebuah beg pakaian merah yang dicampakkan ke dalam tong sampah di sebuah kejiranan lain di Brooklyn, kata Encik Kelly. -- AP.

Cyberita Online Luar Negara

No comments:

Post a Comment