Pages

Tuesday, July 26, 2011

Bir halal disah halal

KUALA LUMPUR: Boleh diminum. Itulah rumusan dibuat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke 95 pada 16 hingga 18 Jun lalu berhubung isu minuman ringan buah-buahan berperisa malta, Barbican yang mencetuskan kegemparan berikutan dakwaan kandungan alkohol melebihi jumlah dibenarkan.

Ketika mengumumkan perkara itu, pengerusinya, Tan Sri Abdul Shukor Hussin berkata, selepas berbincang dan meneliti beberapa keputusan muzakarah sebelum ini berkaitan alkohol dalam makanan dan minuman serta ubat-ubatan, pihaknya membuat keputusan minuman berkenaan dan beberapa jenis yang lain diproses bukan untuk tujuan pembuatan arak boleh diminum.


Menurutnya, alkohol terkandung dalam minuman terbabit juga bukan terhasil daripada proses pembuatan arak serta dengan kadar sedikit dan tidak memabukkan adalah dibolehkan bersesuaian dengan keputusan muzakarah pada kali ketujuh pada 1984, ke 19 pada 1987 dan ke 91 pada tahun lalu.

“Muzakarah juga menasihatkan supaya pengeluar minuman berkenaan tidak menggunakan label, jenama dan sebagainya yang boleh menimbulkan keraguan kepada umat Islam. Justeru, orang ramai khususnya masyarakat Islam di negara ini tidak perlu ragu dengan status minuman ini kerana ia sudah diputuskan halal,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.


Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali. Abdul Shukor berkata, pihaknya mendapati kandungan alkohol di dalam Barbican adalah kurang daripada 0.01 peratus iaitu pada kadar dibenarkan untuk produk akhir sebanyak 0.05 peratus sekaligus tidak mendatangkan kesan yang memabukkan jika diminum.


“Kami juga ingin maklumkan kadar 0.01 peratus seperti dilaporkan di dalam media bukanlah hasil muzakarah kerana kami dapati jika ia ditetapkan pada kadar itu, banyak jenis makanan dan minuman yang bukan diproses untuk pembuatan arak akan diambil kira.

“Jadi, kami putuskan untuk buat kajian lebih terperinci dan menyeluruh supaya kadar ditetapkan selaras dengan kaedah hukum syarak,” katanya.

Menurutnya, dibantu pakar Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia (UPM), jawatankuasa merumuskan setiap minuman arak mengandungi alkohol dan bukan semua alkohol itu adalah arak dan jika ia diperoleh dari pembuatan arak, hukumnya haram.

Selain itu katanya, muzakarah khas berkenaan juga menetapkan alkohol diperoleh bukan menerusi proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum kerana ia racun yang boleh membunuh.


Katanya, minuman ringan dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti membuat arak sama ada kandungan alkoholnya sedikit atau banyak haram diminum begitu juga dengan alkohol disuling.


“Makanan atau minuman yang mempunyai alkohol secara semula jadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya hukumnya tidak najis dan boleh dimakan atau diminum.


“Manakala yang mengandungi bahan perisa atau pewarna mengandungi alkohol untuk penstabilan adalah boleh digunakan sekiranya ia tidak dihasilkan menerusi proses pembuatan arak dan kuantiti dalam produk akhir tidak melebihi 0.5 peratus,” katanya.

myMetro | Bir halal disah halal

No comments:

Post a Comment