Pages

Saturday, July 23, 2011

Adik ulangi tragedi 10 tahun abang


Kapten Mohd Sham Isa
Kapten Mohd Sham Isa


Komando maut ketika latihan payung terjun

SEGAMAT: Tragedi menimpa komando tentera, Kapten Mohd Sham Isa, 43, dalam nahas payung terjun ketika sesi latihan di Padang Terap, Kedah, petang kelmarin mengulangi insiden kira-kira 10 tahun lalu yang meragut nyawa abangnya, juga anggota komando.
Pada 2001, Pegawai Waran Mohsin Isa terbunuh dalam nahas serupa di Kem Sungai Udang, Melaka, ketika berusia 35 tahun. Malang keluarga itu sebenarnya bermula 15 tahun sebelum itu apabila seorang lagi saudara mereka, Hidir maut dilanggar lari dalam kemalangan jalan raya di ibu negara ketika baru menyertai pasukan komando pada usia 23 tahun.
Isteri Mohd Sham, Zanariah Esa, 39, berkata kejadian malang menimpa suaminya ketika menjalani latihan di zon penerjunan dekat Padang Terap, Kedah itu berlaku ketika dia menyertai isteri anggota tentera lain untuk acara bowling di Kuala Lumpur.

“Sejurus menerima maklumat, saya bergegas pulang ke rumah di Melaka. Tak sangka, mimpi beberapa hari lalu mengenai dua orang tidak dikenali mengajak suami pergi ke satu tempat dan saya tidak mampu menghalang pemergiannya, petunjuk suami akan pergi selama-lamanya meninggalkan saya dan lima anak kami berusia satu hingga 16 tahun.

"Kematian suami ibarat tragedi berulang kerana nasib sama menimpa abangnya ketika latihan payung terjun kira-kira 10 tahun lalu," katanya yang ditemui selepas majlis pengebumian jenazah Mohd Sham di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pogoh 2, di sini semalam.

Kejadian kira-kira jam 4.45 petang kelmarin berlaku ketika mangsa bersama 80 anggota dari Pusat Latihan Peperangan Khas (PULPAK) Kem Sungai Udang, Melaka, melakukan penerjunan dari pesawat CN235. Ia sebahagian latihan demonstrasi penutup kursus statik dan bebas untuk anggota komando.
Mohd Sham yang parah meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah. Allahyarham menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 22 tahun lalu dan pegawai di PULPAK Kem Sungai Udang.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar selaku Kolonel Kehormat Gerup Gerak Khas (GGK) turut berangkat memberi penghormatan terakhir serta menyampaikan sumbangan peribadi tanda simpati kepada balu dan ahli keluarga mangsa.

Turut hadir termasuk Panglima 21 GGK, Brig Jeneral Datuk Abd Samad Yaakub dan Komandan PULPAK, Kolonel Jamaludin Jambi serta rakan setugas mangsa.
Berita Harian Online | Adik ulangi tragedi 10 tahun abang

No comments:

Post a Comment