Pages

Monday, July 18, 2011

Abu Sayyaf culik wanita warga AS

Militan hubungi keluarga tuntut wang tebusan, benar mangsa berbual bukti masih hidup

MANILA: Penculik dipercayai kumpulan Abu Sayyaf menuntut wang tebusan selepas menahan wanita warga Amerika Syarikat dan anak lelaki selain anak saudaranya yang juga warga Filipina di selatan negara itu semalam.
Mangsa kemudian dibenarkan berbual dengan keluarga di Amerika sebagai bukti masih hidup. Perbualan itu dikesan di pulau Basilan. Anggota keselamatan kemudian ditempatkan di lokasi berdekatan bagi memastikan mereka tidak dipindahkan ke tempat lain.
Sekurang-kurangnya 14 lelaki bersenjata menculik Gerfa Yeatts Lunsmann, anak lelakinya berusia 14 tahun dan anak saudaranya berusia 19 tahun, Selasa lalu.

Ketika itu, mangsa berada di rumah saudara mereka di kampung berdekatan bandar selatan Zamboanga. Mereka diacukan senjata dan diarah menaiki bot, kata pegawai.

Penculikan bertujuan menuntut wang tebusan adalah masalah berpanjangan di selatan Filipina. Kumpulan yang ada kaitan dengan al-Qaeda, Abu Sayyaf didakwa melakukan kegiatan itu. Mereka juga pernah memenggal tahanan dan melakukan pengeboman.

Bantuan Amerika Syarikat menyerang militan itu melemahkan kumpulan berkenaan yang disenarai hitam Washington sebagai organisasi pengganas.
Ditanya mengenai tuntutan wang itu, Datuk Bandar Zamboanga, Celso Lobregat berkata penculik menghubungi keluarga mangsa dan menuntut wang tebusan.

Lobregat enggan mendedahkan maklumat termasuk jika penculik sudah mengumumkan identiti kumpulan atau membenarkan tebusan bercakap dengan keluarga.

“Ada panggilan kepada keluarga dan tuntutan dibuat,” kata Lobregat. Komander polis wilayah, Felicisimo Khu Jr berkata penyiasat sudah tahu mengenai tuntutan itu.

Lunsmann, 41, adalah doktor veterinar dan tinggal di Virginia, dilahirkan dalam keluarga Muslim di kampung tidak jauh dari tempat beliau dan anak lelakinya bercuti apabila mereka diculik, kata Khu.

Beliau menjadi anak angkat pasangan Amerika dan dibesarkan di negara itu.

Pihak berkuasa mengesyaki mangsa ditahan militan di bawah komander Abu Sayyaf, Nurhassan Jamiri dan Puruji Indama, yang dipersalahkan atas kejadian penculikan dan pancung sejak kebelakangan ini. – AP
Berita Harian Online | Abu Sayyaf culik wanita warga AS

No comments:

Post a Comment