Pages

Friday, July 15, 2011

5 minit bergelut dengan peragut



KEPALA BATAS - “Lima minit saya bergelut dengan peragut adalah tragedi hitam yang tidak dapat dilupakan seumur hidup apatah lagi turut mengalami kecederaan,” demikian kata Che Zasah Hashim, 64, dari Kampung Permatang Bertam di sini, yang trauma selepas menjadi mangsa ragut ketika sedang menyidai kain di hadapan rumahnya di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 8.30 pagi itu, warga emas terbabit bukan sahaja mengalami kerugian lebih RM5,000 selepas rantai lehernya dilarikan peragut juga turut dicederakan.

“Tidak berperikemanusiaan apabila peragut itu sanggup menolak makcik hingga nyaris terkena bonggol simen sebelum melarikan diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Ibu kepada empat anak itu berkata, ketika kejadian dia baru selesai menyidai kain di ampaian manakala suaminya, Ahmad Deraman, 74, sedang sarapan dalam rumah dan empat anaknya keluar bekerja.

“Selesai menyidai pakaian, saya bergerak untuk menyapu sampah di halaman rumah namun, tiba-tiba lengan kanan di pegang kuat oleh seseorang dari arah belakang.

“Dalam masa sama saya terasa amat sakit di bahagian leher dan sesak nafas apabila rantai yang dipakai tidak putus biarpun direntap beberapa kali oleh lelaki berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan terhuyung-hayang dia cuba mempertahankan rantai lehernya daripada diragut dan dalam masa sama pening selepas ditumbuk pada bahagian mata kanannya dari arah belakang menyebabkan dia tidak dapat mempertahankan rantainya.

“Kesakitan yang dialami pada bahagian leher dan mata menyebabkan saya menjadi lemah sebelum peragut itu berjaya menarik keluar rantai melalui kepala sejurus selepas itu.

“Dalam kejadian itu, saya tidak berpeluang menjerit meminta tolong sedangkan suami hanya berada lebih kurang 1.5 meter dari tempat saya bergelut dengan peragut,” katanya.

Menurutnya, sebelum melarikan diri, peragut itu bertindak menolaknya hingga jatuh.

“Saya tidak sempat mengecam peragut itu kerana hanya melihat kelibatnya dari arah belakang selepas terjatuh tetapi dari warna kulitnya yang sawo matang mungkin dia berketurunan Melayu.

“Sejurus selepas itu baru saya menjerit meminta tolong,” katanya.

Suaminya kemudian membawa Che Zasah membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas sejurus selepas itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan jenayah ragut.
SH

1 comment:

  1. dok kat rumah tak payah la pakai barang mas.nak ampai kain pun nak pakai juga.penjenayah dok perhati hari-hari nooooooo.

    ReplyDelete