Pages

Monday, July 25, 2011

3 tentera Thai maut helikopter terhempas


ANGGOTA polis memeriksa mayat mangsa nahas helikopter di wilayah Phetchaburi, semalam.
ANGGOTA polis memeriksa mayat mangsa nahas helikopter di wilayah Phetchaburi, semalam.


17 terkorban dalam tiga nahas sejak 16 Julai

BANGKOK: Tiga anggota tentera terkorban dan seorang cedera semalam dalam kemalangan maut ketiga helikopter tentera Thailand dalam sembilan hari, kata seorang jurucakap tentera.

Helikopter Bell 212 yang sedang mengambil bahagian dalam misi menyelamat selepas satu lagi nahas helikopter Selasa lalu, terhempas di wilayah Phetchaburi, barat daya ibu kota ini, menjadikan angka kematian daripada tiga nahas helikopter sejak 16 Julai lalu kepada 17 orang.
“Ada dua juruterbang dan dua juruteknik tentera di dalamnya. Seorang cedera dan tiga terkorban,” kata Kolonel Sunsern Kaewkumnerd kepada AFP.
Saluran berita televisyen Thailand menunjukkan gambar udara helikopter yang terbakar, dalam wilayah hutan tebal sama yang menyaksikan tragedi sebelumnya.

Helikopter itu, yang terbang dari ibu kota ini ke sebuah pangkalan pasukan khas di Phetchaburi, kelmarin sedang memindahkan mayat dari sebuah helikopter Black Hawk yang terhempas Selasa lalu, di mana sembilan terkorban.

Mangsa adalah lapan kakitangan tentera dan seorang jurukamera televisyen dari Saluran 5 dikendalikan tentera.

Bangkai helikopter Black Hawk itu ditemui di kawasan hutan tebal menyeberangi sempadan Myanmar pagi Jumaat lalu, tiga hari selepas ia hilang ketika satu misi mencari mayat lima anggota tentera yang terkorban dalam satu kemalangan helikopter 16 Julai lalu.
Perdana Menteri yang bakal berundur Abhisit Vejjajiva berkata, tragedi bersiri itu mempunyai ‘kesan besar’ ke atas semangat tentera, sementara satu tulisan dalam akhbar bahasa Inggeris The Nation semalam berkata: “Ia menggambarkan kesuraman di seluruh negara.”

Selepas kemalangan ketiga pagi semalam, Ketua Tentera, Jeneral Prayut Chan-O-Cha, berkata misi udara wujud dengan risiko tambahan, namun menegaskan keselamatan menjadi satu keutamaan.

“Dua kemalangan pertama disebabkan cuaca buruk dan ketiga dianggap masalah enjin, namun kami akan menunggu satu siasatan,” katanya dalam Saluran 3.

Dalam kemalangan pertama, sebuah helikopter Huey terhempas ketika cuaca buruk dalam satu misi menaikkan anggota tentera dari kawasan hutan tebal. – AFP Berita Harian Online | 3 tentera Thai maut helikopter terhempas

No comments:

Post a Comment