Pages

Tuesday, June 14, 2011

Warga emas tunggu rumah PPRT sejak 1998




BANDARI Ampung duduk di tangga rumahnya di Kampung Tapukan, Kota Belud, sambil mengharapkan penantiannya selama 13 tahun untuk memiliki rumah PPRT akan tertunai . - UTUSAN/SITTI NOR AZIZAH TALATA


KOTA BELUD 13 Jun - Hajat seorang warga emas, Bandari Ampung dari Kampung Tapukan dekat sini, untuk memiliki rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) masih belum kesampaian.
Bandari, 67, yang menyara keluarga dengan hasil kerja-kerja kampung berjumlah kira-kira RM150 sebulan bimbang kerana rumah yang mereka duduki sekarang boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja.
"Saya telah mengemukakan permohonan bagi memiliki PPRT sejak 1998, namun sehingga kini belum berjaya memperolehinya.
"Saya tidak pernah berputus asa untuk memohon bila sahaja ada khabar permohonan PPRT yang baru dibuka setiap tahun, tetapi malangnya rezeki belum berpihak kepada saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tapukan.
Menurutnya, dalam usia yang semakin lanjut, pendapatannya tidak memungkinkannya untuk mendirikan rumah sendiri.
Rumah tersebut yang diduduki Bandari sekeluarga sejak 30 tahun lalu sangat uzur terutama bahagian dapur yang senget sementara dinding dan atapnya pula dibuat daripada nipah.
Bandari berkata, pihak berkaitan pernah melawat dan meninjau keadaan rumahnya di samping memberikannya harapan dengan memintanya agar banyak bersabar.
"Apabila angin bertiup, rumah ini akan bergoyang. Saat itu kami sekeluarga hanya pasrah dengan ketentuan Allah," katanya.
Sehubungan itu, dia berharap pihak berkenaan dapat memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapinya.
Utusan Malaysia Online - Sabah & Sarawak

No comments:

Post a Comment