Pages

Friday, June 3, 2011

Wanita jumpa bayi dalam tong sampah


KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui masih hidup dalam tong sampah di Jalan Pelangi 9, Taman Pelangi, Rawang pagi semalam menjadikan kes ketiga pembuangan bayi dalam tempoh tiga hari, termasuk dua daripadanya meninggal dunia.


Bayi yang masih bertali pusat dan dalam keadaan bogel itu ditemui suri rumah yang dikenali Kavitha berusia 40-an ketika ke kawasan itu untuk membuang sampah kira-kira jam 10 pagi sebelum menyerahkan mangsa kepada unit peronda polis.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata bayi itu di temui dalam tong sampah di hadapan rumah teres dua tingkat di kawasan berkenaan.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati, bayi itu dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam berdasarkan keadaan badannya dan masih bertali pusat.

“Ketika ditemui, bayi berkenaan diletakkan di atas bahan buangan dalam tong sampah dalam keadaan bogel dan terdapat kesan merah di badannya akibat gigitan serangga.

“Polis membawa bayi terbabit ke Klinik Kesihatan Rawang dan dilaporkan dalam keadaan sihat,” katanya ketika, semalam.

Abdul Rahim berkata, pihaknya kini mengesan individu bertanggungjawab membuang bayi malang itu dan tidak menolak kemungkinan suspek tinggal di kawasan lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Orang ramai yang ada maklumat diminta membantu siasatan dan polis sudah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung bayi itu,” katanya.
Berita Harian Online | Wanita jumpa bayi dalam tong sampah

No comments:

Post a Comment