Pages

Sunday, June 19, 2011

Tutankhamun disemadi terburu-buru




WAJAH Tutankhamun mengikut imbasan teknologi di sebelah kepalanya.
WAJAH Tutankhamun mengikut imbasan teknologi di sebelah kepalanya.

Penyelidikan dapati cara pengebumian Firaun termuda Mesir dalam keadaan luar biasa

KAHERAH: Raja Tutankhamen, salah seorang Firaun paling muda pernah memerintah Mesir purba, meninggal dunia ketika usia remaja (19 tahun), umur terlalu muda berbanding jangka hayat nenek moyangnya.
Ketika punca kematiannya terus diperdebatkan, bukti terbaru yang dikumpulkan Institut Pemuliharaan Getty mendedahkan bahawa beliau dikebumikan lebih cepat berbanding pemerintah Mesir lain pada zaman purba itu.
Dengan kerjasama ahli mikrobiologi Universiti Harvard, Ralph Mitchell, pakar kimia di institut berkenaan memulakan analisis ke atas sejumlah bintik berwarna coklat di seluruh dinding yang dilukis dengan gambar Dewi Hathor di makam Raja Tut.

Apa yang mereka temui ialah sisa bakteria atau kulat yang pernah hidup dan hampir tidak berubah sejak makam itu dibuka pada 1922.

“Dengan menggunakan kultur spesimen hidup dari dalam makam dan teknologi urutan DNA, kami mampu mengklasifikasikan bahawa bintik coklat itu adalah mikro organisma si mati,” katanya.

Saintis di Institut Pemuliharaan Getty juga mengesan bahan melanin, sejenis bahan sampingan kulat (dan kadangkala bakteria) di seluruh dinding makam.
Walaupun tiada organisme tertentu dikaitkan dengan bintik coklat itu, maklumat ini boleh membantu ahli arkeologi untuk memahami secara lebih mendalam keadaan ketika pengebumian Raja Tut.

“Pintu makam berkemungkinan besar ditutup sebelum cat atau plaster dinding benar-benar kering, memberi isyarat bahawa Raja Tut dikebumikan dalam keadaan tergesa-gesa,” kata Mitchell pada satu sidang akhbar.

Beliau memberi hujah bahawa kombinasi kelembapan, makanan, proses mumia dan kemenyan dalam makam itu menyebabkan tempat itu sesuai bagi bahan mikro organisma membiak.

Oleh kerana kebanyakan makam Firaun Mesir diberi cukup masa sebelum ditutup, pengebumian Raja Tut yang tergesa-gesa itu dianggap luar biasa bagi seorang yang terkenal sepertinya.

“Fakta bahawa makam Raja Tut menunjukkan tanda kehidupan mikro di dalamnya, mungkin boleh membantu ahli sejarah mendapatkan maklumat terperinci membabitkan punca kematian beliau,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Menteri Antikuiti Mesir, Zahi Hawas berkata sepasang patung datuk Tutankhamun yang tumbang ditemui di tempat kerabat itu dikebumikan. – Agensi
Berita Harian Online | Tutankhamun disemadi terburu-buru

No comments:

Post a Comment