Pages

Thursday, June 23, 2011

Tersepit bawah bas


TERSEPIT...mangsa  terpaksa menahan kesakitan sebelum dikeluarkan anggota bomba.
TERSEPIT...mangsa terpaksa menahan kesakitan sebelum dikeluarkan anggota bomba.


PORT DICKSON: “Saya terdengar jeritan rakan ketika sedang mengecat belakang bas dan apabila memeriksanya, saya dapati dia tersepit di bawah bas,” kata Mohd Faizal Abdullah, 35, menceritakan kejadian bas bergerak sendiri hingga mencederakan seorang lelaki di Kampung Kayu Ara, Mambau, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, Suresh, 35, tersepit di bawah bas yang sedang dibaikinya dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) kerana cedera parah di anggota badan.

Menurut Mohd Faizal, Suresh yang juga penyelia di bengkel berkenaan berada di bawah bas untuk memeriksa kerosakan kenderaan itu.

“Ketika terdengar jeritan Suresh, saya nampak dia cuba menahan bas dengan tangan,” katanya, semalam.

Menurutnya, tindakan Suresh itu nyata membahayakan nyawanya kerana bas itu tidak berhenti sebaliknya terus bergerak dan merempuhnya menyebabkan dia tersepit di bawah kenderaan berkenaan.


Menurutnya, berkemungkinan brek bas gagal berfungsi dengan baik menyebabkan ia bergerak sendiri hingga merempuh bengkel di sebelah.

Seorang pemilik bengkel lain yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal, 30-an, berkata, dia terkejut apabila melihat bas berkenaan bergerak menuju ke bengkelnya yang terletak bersebelahan tempat kejadian.

“Ketika kejadian saya dengar bunyi bising dan apabila menjenguk ke bengkel sebelah, terkejut melihat seorang lelaki yang tersepit di bawah bas, sedang menahan bas berkenaan,” katanya.
Menurut Kamal, keadaan kelam-kabut apabila usaha mengeluarkan mangsa yang tersepit gagal sehinggalah anggota bomba tiba.

Sementara itu, jurucakap bilik gerakan Balai Bomba Seremban 2 berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.07 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika itu, mangsa sedang mengerang kesakitan dan anggota bomba mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkannya,” katanya.

Menurutnya, mangsa dikejarkan ke HTJS dengan ambulans untuk rawatan.
myMetro | Tersepit bawah bas

No comments:

Post a Comment