Pages

Tuesday, June 28, 2011

'Tak sangka lihat mayat adik'




Allahyarham Mohd Nazri Ali
Allahyarham Mohd Nazri Ali

Remaja 18 tahun maut terjatuh dari tingkat 10 rumah pangsa

KUALA LUMPUR: “Saya langsung tidak menyangka apabila turun ke tingkat bawah dan melihat mayat lelaki berlumuran darah yang dikatakan terjatuh dari tingkat 10 flet kami adalah adik kandung saya,” kata Muhammat Sobbri Ali, 24, mengenai adiknya, Mohd Nazri, 18, yang mati terjatuh di tingkat bawah Flet Angsana, Taman Subang Mewah, USJ 1 di sini, awal pagi semalam.
Sobbri yang tinggal di tingkat 1 flet itu bergegas turun dari rumahnya kira-kira jam 3 pagi sebaik dimaklumkan jirannya mengenai ada lelaki yang jatuh bangunan.
“Saya terkejut apabila melihat lelaki itu adalah adik saya. Saya sangat sedih melihat keadaannya yang amat parah, apatah lagi apabila melihat dia menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat dibawa ke hospital.

“Orang ramai yang berkumpul di situ memberitahu dia terjatuh dari tingkat 10. Kami tinggal bersama di Tingkat 1... saya tidak tahu apa yang dia buat di tingkat 10 ketika itu,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, semalam.

Sobbri berkata, kali terakhir beliau berjumpa adiknya adalah kira-kira jam 11 malam kelmarin.

“Ketika itu, arwah beritahu hendak keluar untuk bertemu dengan beberapa rakannya,” katanya.
Arwah adalah anak ketujuh daripada sembilan beradik.

Seorang lagi abang mangsa, Muhammad Hasbi, 20, berkata beliau amat sedih dengan kehilangan Nazri kerana hubungan mereka berdua amat rapat memandangkan jarak umur mereka yang amat dekat.

“Kami berdua amat rapat kerana saya anak keenam dan arwah anak ketujuh. Hubungan kami lebih seperti rakan karib dan sekiranya dia ada masalah, dia akan bercerita dengan saya.

“Setahu saya, arwah tidak mempunyai musuh dan amat disenangi oleh rakan-rakannya. Arwah juga ada beritahu yang dia hendak cari kerja selepas kad pengenalan barunya siap kerana sebelum ini kad pengenalannya hilang,” kata Hasbi.

Jenazah Allahyarham dikebumikan selepas Asar di kampung halaman mereka di Tanah Perkuburan Kampung Kuantan, Batang Kali.

Sementara itu, Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan mengklasifikasikannya sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia awal 30-an patah kaki kanan, leher dan tangan kiri selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah apartmen di Plaza Idaman, Setapak di sini, semalam ketika leka berbual melalui telefon dengan teman wanitanya.

Ketika kejadian jam 3 pagi itu, mangsa dikatakan duduk mencangkung di tembok tempat letak kereta apartmen berkenaan sebelum tergelincir dan terjatuh.
Berita Harian Online | 'Tak sangka lihat mayat adik'

No comments:

Post a Comment