Pages

Monday, June 20, 2011

Spratly: Filipina jamin tiada pertempuran




Gambar yang diambil oleh agensi berita Vietnam dan dikeluarkan pada 14 Jun lalu merakamkan askar Vietnam menjalani latihan menggunakan mesingan 12.7 mm di pulau Phan Vinh di Kepulauan Spratly. - AFP


MANILA 19 Jun - Ketua tentera Filipina, Jeneral Eduardo Oban hari ini memberi jaminan bahawa kapal perang utama negara ini tidak akan melepasi Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Filipina sejauh 200 batu nautika apabila kapal itu dikerahkan berada berhampir perairan Laut China Selatan.
Oban, bagaimanapun berkata, beliau tetap optimis pertikaian wilayah akan diselesaikan secara aman dan konfrontasi bersenjata dapat dielakkan.
"Kami berharap keadaan tidak akan sampai ke tahap itu (konfrontasi tentera)," katanya kepada pemberita apabila ditanya sama ada tindakan Filipina mengerahkan kapal Rajah Humabon ke perairan yang menimbulkan pertikaian boleh mencetuskan pertempuran.
Jelas beliau, kapal itu tidak akan melewati garis sempadan maritim dan tidak akan memasuki perairan antarabangsa.
"Saya optimis apa juga konflik yang mungkin timbul akan diselesaikan secara aman dan diplomatik, meskipun saya menegaskan kita perlu juga menguatkuasakan undang-undang maritim dalam lingkungan zon 200 batu nautika," kata Oban.
Manila kelmarin berkata, ia akan mengerahkan Rajah Humabon ke Laut China Selatan, sehari selepas China mengumumkan sebuah kapal peronda maritimnya juga dijadual akan lalu di kawasan yang sama.
Rajah Humabon, sebuah bekas frigat tentera laut Amerika Syarikat (AS) yang beroperasi semasa Perang Dunia Kedua adalah antara kapal perang tertua di dunia, dan memulakan perkhidmatan dalam tentera laut Filipina pada 1980.
Ketegangan dalam perbalahan berlarutan berhubung perebutan wilayah di Laut China Selatan meningkat sejak beberapa bulan lalu ekoran dakwaan Filipina dan Vietnam bahawa China semakin agresif dalam usaha untuk mengukuhkan tuntutannya.
Manila menuduh China pada bulan ini menghantar kapal tentera lautnya untuk mengancam bot dan kapal dari negara lain yang turut membuat tuntutan di sekitar Kepulauan Spratly, di samping memasang boya dan mencacakkan tiang-tiang penanda di kawasan berdekatan.
Menteri Luar Filipina, Albert del Rosario menemui rakan-rakan sejawatannya dari ASEAN, kelmarin dan menggesa mereka mengambil pendirian yang sama dalam menghadapi tindakan China berhubung tuntutan bertindih itu. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment