Pages

Thursday, June 23, 2011

Polis cari bomoh wanita, suami



kak Yah @ Kak Mah dicari bagi membantu siasatan kes kematian seorang pemuda, baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU 22 Jun – Polis mengedarkan gambar seorang bomoh wanita warga Thailand dan suaminya yang disyaki terlibat dalam kes kematian seorang pemuda baru-baru ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, gambar kedua-dua mereka diedar bagi membantu orang ramai memberi kerjasama mengesan pasangan berkenaan yang kini menghilangkan diri selepas kematian pemuda itu yang dirawat secara pelik.

Menurutnya, berdasarkan maklumat terkini, bomoh yang dikenali sebagai Kak Yah atau Kak Mah, 43, dan suaminya, Norhisham Mustapa, 33, masih berada di sekitar Rantau Panjang, Kelantan.

“Kita percaya jika dapat maklumat sekurang-kurangnya mengenai suaminya, maka bomoh wanita itu pasti akan dapat dikesan dan ditahan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada 16 Jun lalu, seorang pemuda, Faisal Harun, 26, dari Kampung Gong Beris, Marang dibawa keluarganya untuk mendapatkan rawatan daripada bomoh tersebut.

Mangsa dibawa ke rumah bomoh itu di Kampung Pulau Rusa, Mercang kerana mengalami masalah kesihatan setelah dikatakan terkena buatan orang.

Mangsa dipaksa minum air dalam kuantiti banyak termasuk melalui hos getah kononnya untuk mengeluarkan jin dalam badannya.

Bagaimanapun, pemuda itu tidak sedarkan diri kerana kelemasan dan meninggal dunia dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Mercang.

Jamshah dalam pada itu memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pasangan itu diminta menghubungi Asisten Supritendan Mohd. Adli Mat Daud dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di talian 013-4398633 atau 09-6182222.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment