Pages

Wednesday, June 22, 2011

Pesawat terhempas, 44 maut



ST. PETERSBURG, Rusia 21 Jun - Seramai 44 maut, sementara lapan yang lain cedera parah apabila sebuah pesawat yang membawa 52 penumpang terhempas dalam keadaan kabus tebal di sebuah lebuh raya di barat laut Rusia, lewat malam tadi.
Jurucakap Kementerian Kecemasan, Oksana Semyonova memberitahu Associated Press, ketika kejadian, pesawat Tu-134 milik syarikat penerbangan RusAir itu dalam perjalanan dari Moscow ke bandar Petrozavodsk.
Kementerian itu dalam satu kenyataan di laman web melaporkan, lapan yang cedera parah termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dan seorang pramugari yang kini dirawat di sebuah hospital di Petrozavodsk, kira-kira 640 kilometer dari barat laut Moscow.
Semyonova berkata, pesawat itu cuba mendarat di lapangan terbang di Petrozavodsk, tetapi berkecai dan meletup selepas terhempas di lebuh raya kira-kira dua kilometer dari landasan.
Jelas beliau, pihaknya masih belum pasti sama ada pesawat itu cuba mendarat di lebuh raya berkenaan.
Pihak berkuasa juga masih belum dapat mengeluarkan laporan penuh mengenai kejadian itu, tetapi agensi berita Interfax memetik Pengarah lapangan terbang, Alexei Kuzmitsky sebagai berkata, ‘kejadian berlaku dalam keadaan cuaca buruk’.
Timbalan Ketua Jawatankuasa Penerbangan Antara Negeri, Alexei Morozov memberitahu agensi berita ITAR-Tass, juruterbang dipercayai berhadapan kesukaran untuk mendaratkan pesawat itu kerana lampu kecemasan yang sepatutnya dipasang di landasan semasa penglihatan terhad tidak berfungsi.
Lamab web Kementerian Kecemasan turut menyiarkan gambar pesawat yang berkecai di jalan raya dengan latar belakang kabus tebal.
Agensi-agensi berita Rusia melaporkan, antara penumpang yang terbunuh ialah pengadil bola sepak Liga Perdana Rusia, Vladimir Pettay dan seorang rakyat Sweden.
Laporan agensi berita menyebut, kotak hitam pesawat itu telah ditemui. – Agensi
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment