Pages

Wednesday, June 29, 2011

Perisik Rusia belot dipenjara 20 tahun




Anna Chapman, seorang daripada 10 perisik yang didedahkan oleh Poteyev kepada CIA. – AGENSI


MOSCOW 28 Jun - Seorang perisik kanan Rusia, Kolonel Alexander Poteyev melarikan diri dari negara kelahirannya itu kerana bimbang ditangkap selepas membocorkan identiti perisik rejim di Amerika Syarikat (AS).
Ketika dia melarikan diri, Poteyev menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada isterinya yang berbunyi ''Mary, cuba bertenang ketika membaca mesej ini. Saya akan pergi buat selamanya''.
SMS itu dibacakan semalam di sebuah mahkamah tentera di sini yang mendapati Poteyev bersalah kerana mengkhianati 10 ejen perisikan Rusia di AS dalam perbicaraan tanpa kehadirannya.
Kes itu dilaporkan oleh media di seluruh dunia yang menjadi peringatan bahawa pengintipan oleh ejen-ejen perisikan Rusia di negara asing masih berlaku walaupun komunisme di negara ini telah tamat.
Pendedahan mengenai perisikan Rusia itu yang berlaku beberapa hari selepas pertemuan Presiden, Dmitry Medvedev dengan Presiden AS, Barack Obama, merupakan perkara memalukan kerajaan Kremlin yang ingin memperbaiki hubungan dengan AS.
Seorang daripada ejen perisikan Rusia yang dikhianati oleh Poteyev dan dibebaskan dalam satu pertukaran dengan AS, Anna Chapman ketika memberi keterangannya berkata, dia mengenali Poteyev sebagai lelaki yang mengkhianatinya bersama ejen perisikan lain.
Wanita itu berkata, dia mengetahui identitinya didedahkan apabila seorang lelaki tidak dikenali dan dipercayai ejen perisik Rusia meminta bantuannya dalam satu operasi di AS.
Mahkamah tentera itu menjatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun ke atas Poteyev yang berpangkat kolonel dalam Perkhidmatan Risikan Luar Rusia (SVR) kerana mendedahkan maklumat mengenai kewangan dan komunikasi Moscow dengan ejen perisikannya di luar negara, kepada CIA.
Poteyev turut dikenakan hukuman penjara tambahan selama lima tahun kerana melarikan diri daripada tugas.
Poteyev melarikan diri dari Rusia ke Belarus sebelum dibawa ke AS oleh ejen perisikan negara itu.
Perbicaraan di mahkamah tentera di Moscow itu diadakan secara tertutup tetapi pembacaan keputusan dilakukan secara terbuka.
Pendedahan mengenai dunia pengintipan Rusia itu menjadikan Poteyev sebagai ejen paling kanan mengkhianati badan perisikan itu sejak berdekad lalu dan melemahkan kepimpinan ketua SVR, Mikhail Fradkov.
Kesemua 10 ejen Rusia ditangkap di AS dan mengaku bersalah sebelum dihantar pulang ke Rusia sebagai pertukaran kepada empat orang yang dipenjarakan kerana mempunyai hubungan dengan agensi perisikan Barat. - ReutersUtusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment