Pages

Saturday, June 25, 2011

Pengusaha hotel parah kena tetak



ZAKIYAH Yusof menunjukkan tangan suaminya, Abdul Aziz Dollah yang cedera akibat ditetak oleh empat lelaki tidak dikenali di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 24 Jun - Seorang pengusaha hotel bajet cedera parah selepas ditetak empat lelaki tidak dikenali di premisnya di Jalan Sri Cemerlang di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang Ahad lalu, mangsa, Abdul Aziz Dollah, 47, cedera kedua-dua tangan, kepala, dada kiri dan paha kanan.

Kejadian berlaku ketika mangsa menonton televisyen di lobi hotel apabila empat lelaki, masing-masing membawa parang menyerbu masuk ke dalam hotel lalu menyerangnya.

Abdul Aziz ketika ditemui berkata, sepanjang diserang dalam tempoh 10 minit, dia terpaksa menepis tetakan parang itu dengan tangan selepas meja kecil yang digunakannya untuk mempertahankan diri itu patah.

"Kesemua mereka menaiki kereta Proton Wira berhenti di depan hotel lalu menyerbu masuk dengan parang panjang di tangan masing-masing untuk menyerang saya.

"Mereka terus menetak saya bertalu-talu menyebabkan kedua-dua tapak tangan saya cedera parah sehingga ke tulang dan beberapa bahagian badan termasuk kepala turut ditetak," katanya.

Menurut Abdul Aziz, dia tidak mengenali kesemua penyerangnya itu bagaimanapun dapat mengecam wajah seorang daripada suspek.

Kejadian tersebut disedari oleh isteri mangsa, Zakiyah Yusof, 48, yang ketika itu tidur di sebuah bilik bersebelahan apabila terdengar bunyi bising dan jeritan suaminya.

Menurut Zakiyah, sebaik sahaja keluar untuk melihat apa yang berlaku, dia melihat suaminya terbaring berlumuran darah di pintu masuk hotel dan pada masa sama melihat beberapa lelaki bergegas masuk ke dalam kereta dan segera melarikan diri.

Katanya, sebilah parang panjang berukuran 55 sentimeter milik suspek turut ditemui di luar hotel dan telah diserahkan kepada polis ketika membuat laporan mengenai serangan tersebut.

"Saya kemudian segera menghantar suami ke HUSM (Hospital Universiti Sains Malaysia) sebelum membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu," katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian tersebut dan pihaknya sedang memburu keempat-empat suspek.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment