ATHENS 15 Jun - Pejabat-pejabat ditutup dan perkhidmatan pengangkutan awam darat dan laut di seluruh Greece terganggu hari ini apabila penduduk negara ini melancarkan mogok umum besar-besaran bagi menentang pelan berjimat-cermat oleh kerajaan.
Beratus-ratus penunjuk perasaan terdiri daripada kumpulan protes terkenal, 'The indignants' membanjiri Dataran Syntagma, Athens di hadapan bangunan Parlimen.
Dataran itu dipenuhi rakyat Greece, bendera Sepanyol dan kain rentang yang tertulis 'bantahan' serta laungan 'ia tidak akan diluluskan'.
Penganjur protes yang berada di dataran tersebut sejak tiga minggu lalu berkata, rantaian manusia akan dibentuk mengelilingi Dewan Perundangan tersebut ketika ahli-ahli Parlimen mula berdebat tentang rancangan pemotongan belanjawan sebagai langkah berjimat-cermat.
Awal hari ini, polis mendirikan sekatan jalan raya menuju ke bangunan Parlimen dan berpuluh-puluh van polis diletakkan di hadapan laluan untuk membenarkan ahli-ahli Parlimen memasuki bangunan tersebut.
Beberapa jalan utama di sekitar Parlimen turut ditutup dan pusat bandar dikawal ketat polis.
Ketegangan semakin memuncak di Greece sejak beberapa hari lalu apabila penunjuk perasaan menyuarakan rasa tidak puas hati dengan pelan kerajaan untuk memotong belanjawan dan kenaikan cukai.
Langkah berjimat-cermat itu untuk menjamin bantuan kewangan daripada peminjam dan debat berhubung pemotongan belanjawan tersebut akan diadakan secara terbuka di Parlimen Greece.
Tinjauan pendapat menunjukkan kebanyakan rakyat Greece hilang keyakinan terhadap kerajaan, sistem politik serta badan kehakiman yang sering dilihat gagal membasmi korupsi. - AFP
No comments:
Post a Comment