Pages

Saturday, June 25, 2011

Pemandu lori guna R&R jual diesel

JOHOR BAHRU: Sekumpulan pemandu lori dikesan menjadikan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Skudai, di sini untuk menjual diesel dari tangki kenderaan masing-masing kepada sindiket yang mengumpulnya sebelum menjual kepada pihak industri di sini.

Sekurang-kurangnya 50 pemandu lori dikatakan terbabit dengan kegiatan menjual 100 liter diesel subsidi dari tangki kenderaan masing-masing kepada sindiket selepas berhubung menerusi telefon bimbit sebelum bahan bakar itu dipindah ke lori perantara yang mampu mengumpul 1,000 liter.
Pegawai penyelarasnya, Mohamad Hashim, berkata pihaknya mengekori kumpulan lori terbabit sebelum mendapati mereka menghubungi wakil sindiket yang datang ke R&R itu bagi memindahkan minyak dari lori tangki minyak kenderaan mereka sebelum menjual 100 liter daripadanya dengan harga RM1.40 seliter.
Sindiket terbabit dikesan menggunakan enam lori yang berulang-alik di antara R&R dengan pusat pengumpulan haram di sebuah rumah kedai di Taman Nusa Bestari, di sini.

Taktik licik sindiket yang dipercayai beroperasi lebih setahun lalu itu dibongkar Unit Kawalan Bahan Petroleum Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan (KPDNKK) Putrajaya selepas mengintip sejak tiga hari lalu.

“Kami kemudian mengekori lori itu sebelum menyerbu sebuah rumah kedai kira-kira jam 2 petang ini (semalam). Kami berjaya menahan tiga lelaki sedang memindahkan minyak dari dalam kedai yang dijadikan stor penyimpanan dan menemui kira-kira 7,800 liter minyak subsidi disimpan dalam sebahagian 11 tangki besar,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, pihaknya merampas tangki terbabit yang boleh mengisi kira-kira 1,000 liter minyak selain sebuah lori serta pelbagai peralatan memindahkan minyak dengan nilai keseluruhan RM90,740 dan siasatan mendapati bekalan minyak diesel itu kemudian dijual kepada pihak industri pada harga antara RM1.80 hingga RM2 seliter.
"Sekurang-kurangnya 50 pemandu lori pelbagai syarikat beroperasi mengangkut barang dari selatan ke utara dipercayai terbabit dalam kegiatan ini. Siasatan lanjut mendapati diesel terbabit disahkan diesel subsidi menerusi ujian Nano Tag,” katanya.
Berita Harian Online | Pemandu lori guna R&R jual diesel

No comments:

Post a Comment