Pages

Tuesday, June 28, 2011

Pasangan suami isteri Taliban letup balai polis

MIRANSHAH 27 Jun - Taliban Pakistan hari ini mengaku pasangan suami isteri yang melakukan serangan pengeboman berani mati di sebuah balai polis di barat laut Pakistan pada minggu lalu merupakan anggota mereka dan mengugut akan melakukan serangan serupa tidak lama lagi.

Pengakuan itu merupakan yang pertama melibatkan wanita dan ia adalah kali kedua polis Pakistan mengesahkan wanita meletupkan diri di negara ini yang mempunyai senjata nuklear.

Seramai 10 anggota polis terbunuh dalam serangan pengebom berani mati yang terdiri daripada sekumpulan militan yang memakai burqa pada Sabtu lalu di barat laut Pakistan, berdekatan Waziristan Selatan.

Jurucakap Taliban, Ehsanullah Ehsan berkata, kali ini mereka memilih untuk menghantar pasangan suami isteri warga Uzbekistan untuk menjadi pengebom berani mati.

"Kami ada beberapa pasangan suami isteri yang sanggup mengadai nyawa dan akan terus menyerang pasukan keselamatan Afghanistan dan Pakistan sehingga penindasan dihentikan," katanya.

Menurut pegawai polis Pakistan, kumpulan militan tersebut yang menyamar dengan memakai burqa mengepung dan menyerang sebuah balai polis menggunakan senjata api serta bom tangan bagi menyelamatkan beberapa orang tahanan di balai itu.

"Berdasarkan mayat dua orang pengebom berani mati yang kami temui itu menunjukkan mereka bukan rakyat Pakistan," lapor pegawai polis, Imtiaz Shah.

Sejak tentera Amerika Syarikat (AS) membunuh Osama bin Laden di Pakistan pada 2 Mei lalu, militan Taliban mengaku melakukan kesemua serangan demi menuntut bela atas kematian Osama. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment